KUALA LUMPUR: Penghantaran pekerja tidak mahir untuk bekerja di Jepun dijangka mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata ia akan mewujudkan pekerja berkemahiran di Malaysia selepas mereka selesai menjalani latihan selama lima tahun di negara itu.

"Ia akan menambah nilai kepada negara kita dan individu tersebut dan bakal menarik syarikat besar dari Jepun untuk beroperasi di Malaysia," katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan Kempen Mencarum Perkeso Untuk Sukarelawan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, 50,496 sukarelawan daripada tujuh agensi kerajaan mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Khidmat.

Beliau berkata jumlah itu dicatatkan setakat 1 Jun lalu, selepas skim itu mula dibuka pada 1 Januari tahun ini.

"Bagi inisiatif ini, kerajaan menyasarkan lebih 100,000 anggota sukarelawan agensi berkenaan mendapat manfaat sehingga permohonan ditutup pada akhir tahun ini.

"Justeru, menerusi Kempen Mencarum Perkeso Sukarelawan ini, usaha untuk memperluaskan lagi perlindungan Perkeso kepada sukarelawan daripada pelbagai agensi akan dapat dilaksanakan," katanya.

Menerusi Bajet 2022, beliau memberitahu, tujuh agensi disenaraikan di bawah SPS Khidmat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengulas lanjut, Saravanan memaklumkan inisiatif SPS Khidmat menyasarkan caruman dalam kalangan empat kumpulan orang bekerja sendiri (OBS), iaitu sukarelawan agensi kerajaan, pekhidmat rumah ibadat Islam, penyelia dan petugas pemulihan komuniti dan penjawat awam berstatus kontrak untuk perkhidmatan.

"Caruman ini penting untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada mereka, memandangkan tugas sukarelawan sekarang turut berdepan risiko dan cabaran.

"Lebih penting, caruman mereka untuk tahun ini disumbangkan sepenuhnya daripada kerajaan. Untuk tahun depan, Kementerian Sumber Manusia akan mohon daripada kerajaan, dan kita lihat kedudukan ekonomi negara," katanya.

Dalam pada itu, Saravanan memaklumkan sejumlah 130,000 daripada sekitar 400,000 pekerja dalam ekonomi gig sudah mencarum dengan Perkeso setakat ini, manakala jumlah pampasan berkaitan COVID-19 yang sudah dibayar mencecah lebih RM174 juta.