SUBANG: Penghantaran pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 ke Lubnan, bukan bermaksud Malaysia akan terlibat dalam konflik Palestin dan Israel.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penghantaran pasukan tersebut, adalah bagi menggantikan pasukan Malbatt 850 siri ke 10, yang sudah berada di Lubnan sejak setahun yang lepas.

Mohamad berkata, Malbatt 850-11 merupakan sebahagian daripada misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL), dan akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin.

Selain itu beliau berkata, pasukan terbabit akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan

“(Ketika ini Kerajaan Malaysia) masih lagi mengekalkan keputusan supaya pasukan pengaman PBB dalam UNIFIL di Lubnan mesti dikekalkan selagi belum ada perubahan (dalam keputusan PBB).

"Maka Malaysia akan turut serta hantar, dan ini merupakan pasukan pengganti (kepada Malbatt 850-10). Jangan kata kita hantar ke Palestin pula, sekarang ni macam-macam pandangan ada.

“Ini kita ganti pasukan sedia ada di Lubnan. Jadi kebetulannya pasukan kita yang ada setahun di sana memang nak balik, dijadualkan untuk balik. Jadi kita buat dan terus hantar (pengganti), sehingga PBB atau UNIFIL membuat keputusan yang berlainan,” katanya lagi.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia, dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-11 ke Lubnan, di Pangkalan Udara Subang, pada Khamis.

Malbatt 850-11 berkekuatan seramai 854 anggota terdiri dari 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat, termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) , serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.

Dalam pada itu Mohamad meminta pasukan negara supaya berhati-hati memandangkan kawasan tanggungjawab mereka hanya 20 kilometer dari sempadan pergolakan antara Israel dan Palestin.

"Sekiranya konflik Israel-Palestin ini berpanjangan, apa jua kemungkinan boleh berlaku. Sebagai tentera, mereka kena bersiap sedia dengan apa saja kemungkinan yang akan berlaku, untuk kita hadapi apa-apa saja.

“Nasihat saya, kita punya anggota kena berhati-hati, walaupun sempadan (kawasan pergolakan) jauh sikit, tidaklah jauh sangat hanya 20 kilometer saja bezanya… tetapi apa saja boleh berlaku. Dan kita tetap di bawah PBB. Apa jua arahan, apa jua tindakan, dan apa jua keputusan PBB itu yang akan kita ikut,” katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata, Kerajaan Malaysia sentiasa komited untuk meneruskan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pengaman di Lubnan dan di mana-mana misi pengaman antarabangsa.

Beliau menegaskan, penghantaran Malbatt 850-11 itu juga membuktikan ATM sentiasa bersedia untuk mengatur gerak pasukan bagi memenuhi keperluan pertahanan dari semasa ke semasa.

Selain itu Mohamad turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga pasukan terbabit di atas pengorbanan mereka, dan sentiasa mendoakan keselamatan anggota yang terlibat.

“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli keluarga pegawai dan anggota Malbatt  yang bersama sama dengan kita hari ini, dan terus merestui dan doa untuk suami, isteri, anak atau saudara-mara untuk melaksanakan misi UNIFIL di Lubnan.

“Kebajikan dan keselamatan setiap pegawai dan anggota akan dipantau oleh markas Angkatan bersama. Mari kita doakan agar kontinjen 850-11 dipermudahkan dalam urusan, diberikan kesihatan baik, selamat dalam melaksanakan misi, dan sentiasa dirahmati Allah,” katanya lagi.