MALAYSIA
Penghargaan SARA: Kerajaan pertingkat pemantauan, pastikan stok barangan cukup - Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan stok barangan keperluan asas mencukupi untuk menebus Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Kerajaan tingkat pemantauan stok barangan asas bagi memastikan kelancaran penebusan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 melalui MyKad di lebih 7,000 premis sehingga 31 Disember 2025.
- Setakat ini, RM192.4 juta telah ditebus, dan KPDN memaklumkan bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi tanpa sebarang isu.
- Kaedah penebusan melalui MyKad bertujuan memastikan bantuan digunakan untuk barangan asas, dan rakyat dinasihatkan agar tidak terburu-buru kerana tempoh penebusan masih panjang.
Penghargaan SARA sebanyak RM100 secara sekali bayar kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad telah mula disalurkan sejak 31 Ogos lalu dan boleh ditebus di lebih 7,000 premis sehingga 31 Dis 2025.
Bantuan itu memberi manfaat kepada kira-kira 22 juta penduduk dengan peruntukan berjumlah RM2 bilion.
Fahmi berkata Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut dimaklumkan bahawa sebanyak RM192.4 juta telah ditebus sehingga tengah malam tadi melalui pembelian barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA.
"Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, turut memaklumkan bahawa pihak kementerian akan menasihatkan lebih 7,000 premis untuk memaklumkan kepada pengunjung supaya menyemak beberapa perkara sebelum menebus kredit Penghargaan SARA," katanya.
Fahmi turut menepis dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan kaedah penebusan kredit menggunakan MyKad dengan menegaskan bahawa kaedah itu bertujuan memastikan bantuan dimanfaatkan khusus untuk pembelian barangan keperluan asas sahaja.
"RM100 ini dimaksudkan untuk membantu isi rumah membeli barangan keperluan asas. Inilah mekanisme untuk memastikan dana yang disalurkan mencapai tujuan program," katanya.
Ditanya mengenai gangguan sistem semasa menggunakan MyKad yang menyebabkan orang ramai meninggalkan barangan di kaunter, Fahmi menasihatkan rakyat supaya tidak terburu-buru membelanjakan bantuan kerana tempoh penebusan masih panjang sehingga 31 Dis.
"Tempohnya masih panjang. Kita boleh atur masa tertentu yang kurang sesak dan pergi ke premis-premis berdekatan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami