Seorang penghuni sebuah rumah kebajikan dan anak yatim milik persendirian di sini membuat laporan polis mendakwa dicabul dan didera oleh kakitangan pusat tersebut, minggu lalu.

Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu mendakwa dipanggil oleh seorang kakitangan lelaki ke biliknya pada pukul 2 petang, Sabtu lepas, dan dibaringkan sebelum diraba di bahagian dada dan alat sulit.

Mangsa juga mendakwa sebelum kejadian itu, dia pernah diikat tangan dan diletakkan berhampiran dapur gas dalam keadaan api menyala di bahagian kaki selama beberapa minit oleh dua kakitangan lelaki di situ, namun tidak menyatakan secara terperinci bila ia berlaku.

"Hampir setiap hari bukan sahaja saya, tetapi juga kawan-kawan yang tinggal di situ dipukul dan didera dengan pelbagai cara yang berlanjutan sehingga hari ini, sehingga kami takut," kata mangsa dalam laporannya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini pada Sabtu dengan ditemani ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah.

Jamilah, 30, berkata mangsa dan adik lelakinya yang berusia enam tahun dihantar ke rumah jagaan anak yatim itu selepas Aidilfitri lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Zundin Mahmood, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan mengejut di rumah itu yang menempatkan 29 kanak-kanak berusia antara lima hingga 16 tahun.

Katanya, rumah jagaan itu merupakan milik persendirian dengan mengurus pusat itu dengan kutipan derma orang ramai.

"Semua kanak-kanak di situ dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, dan didapati terdapat kesan-kesan yang berkemungkinan tanda penderaan.

"Sehubungan itu, 27 kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga mereka manakala dua lagi tidak mempunyai keluarga," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Zulkhairi berkata JKM akan memohon perintah mahkamah pada Isnin ini untuk memasukkan dua kanak-kanak itu ke institusi kendalian JKM bagi tujuan perlindungan.

Beliau menjelaskan tindakan pemeriksaan mengejut itu diambil bagi melaksanakan tanggungjawab di bawah Seksyen 20(1) dan Seksyen 17, Akta Kanak-Kanak 2001 untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

-- BERNAMA