KUALA LUMPUR: Penyerang Hadi Fayyadh Abdul Razak hampir menitiskan air mata selepas menerima panggilan sulung menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kem latihan pusat menjelang Piala ASEAN 2026.
Hadi Fayyadh yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Vencedor Mie United Club, menyifatkan panggilan itu sebagai penghargaan terbesar dalam kariernya selepas sekian lama menantikan peluang berkenaan.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih interim skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe amat bermakna selepas menempuh pelbagai cabaran sebagai pemain profesional, termasuk berdepan isu tunggakan gaji ketika bersama PDRM FC serta kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada 2021.
“Saya mahu ucap terima kasih kepada coach Tan Cheng Hoe kerana percaya kepada saya dan mahu balas jasa baiknya.
“Ini satu detik yang sangat dibanggakan dalam karier kerana sentiasa menjadi impian ssaya untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan..,;ebih-lebih lagi menerima panggilan pertama, jika boleh saya mahu lakukan yang terbaik," katanya kepada pemberita pada sesi latihan, di sini, pada Selasa.
Pemain yang pernah mewakili skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada Sukan SEA 2021 di Vietnam itu berkata, keputusan meninggalkan Malaysia dan berjauhan daripada keluarga untuk berhijrah ke Jepun bukan sesuatu yang mudah, namun perlu dilakukan bagi memastikan impiannya sebagai pemain profesional tidak terhenti.
Sementara itu, tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ahmad Aysar Hadi Shapri tidak gentar meskipun pertama kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas namanya disenaraikan menggantikan pemain berpengalaman Dominic Tan.
Ahmad Aysar berkata, beliau berbangga dengan peluang yang diberikan dan sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan selepas sebelum ini berada dalam senarai pemain bersedia.
Bagi saingan Piala ASEAN 2026 yang berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Thailand dan Filipina.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
-- BERNAMA