Pengiktirafan tertinggi kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam autentik membolehkan negara menikmati pelbagai keistimewaan dari sudut agama dan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada pengiktirafan diterima daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, yang menambah bilangan kuota haji rakyat Malaysia dan memberi maklum balas positif kepada permohonan Malaysia membina dua kompleks jemaah haji di Mekah dan Madinah.

Dari sudut ekonomi, Najib berkata persetujuan Saudi Aramco membuat pelaburan RM31.08 bilion dalam Projek Pembangunan Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor akan memberi suntikan modal kepada Malaysia selain penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Malaysia.

"Baginda (Raja Salman) boleh memilih mana-mana negara, tetapi mengapa baginda memilih Malaysia? Inilah yang patut kita tanya dan jawapannya adalah kerana apa yang kita amalkan di sini.

"Apa yang kita lakukan atas nama Islam, dasar-dasar kita yang dianggap sebagai modul Islam yang terbaik sekali. Kita mendapat pengiktirafan sebagai negara Islam autentik dan pendekatan wasatiyyah (sederhana). Itulah yang dipandang tinggi baginda (Raja Salman).