KUALA LUMPUR: Beberapa perkara yang sedang diusahakan kerajaan ketika ini adalah berbeza daripada pendekatan yang diambil pentadbiran terdahulu, termasuklah dalam hal membabitkan bantuan atau subsidi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan perlu memastikan bahawa semua infrastruktur tersedia dan melakukan ujian perintis, sebelum memutuskan apakah tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan.

Kata Rafizi, kerajaan sedang cuba meminimumkan ralat pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, namun ia perlu dijalankan secara berperingkat.

"Di peringkat kerajaan, di pihak Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) contohnya, minggu ini kita sudah mula bincang simulasi, siapa yang patut dapat apa, apakah pendekatan yang akan diberikan, adakah bantuan anak sejagat, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.

"Semua sudah dibincangkan. Saya rasa tahun depan anda akan melihat peralihan daripada subsidi blanket dan pengkelasan T20, B40, M40, perlahan-lahan akan dihapuskan.

"Kami akan melancarkan satu demi satu, bantuan sosial yang disepadukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah," katanya.

Jelas Rafizi lagi, perkara itu mampu direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (Padu), sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi kerajaan.

Mei lalu, Rafizi memaklumkan kerajaan akan mula melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, bermula Januari 2024.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada Rabu.

Sementara itu, Rafizi memaklumkan terdapat perancangan memperluaskan inisiatif IPR ke fasiliti perubatan awam, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Beliau juga meluahkan keyakinan sasaran 5,000 mesin IPR diterima pemohon yang layak menjelang hujung tahun ini, akan tercapai.

"Permintaan kepada makanan siap berharga rendah paling tinggi di tempat tumpuan orang ramai seperti kampus dan hospital.

"Saya berterima kasih kepada PPUM kerana bekerjasama untuk menyaring dan memilih dalam kalangan kakitangan sendiri yang memenuhi kriteria untuk menjalankan inisiatif ini.

"Ini peluang tambahan bagi mereka meningkat pendapatan bulanan dan model ini kita akan perluas ke hospital lain dengan kerjasama Kementerian Kesihatan," katanya lagi.