Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian dikejutkan dengan kewujudan kem-kem sementara di Selatan Thailand sama seperti di Wang Kelian, Perlis.

Perkara itu diakui saksi ketujuh, ASP Jamaluddin Shah Mohd Jawan yang pernah betugas sebagai pegawai Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis pada sesi pendengaran awam yang berlangsung hampir tiga jam.

Ujar beliau, hasil risikannya sendiri ke Selatan Thailand termasuk menerusi sumber, pihak berkuasa Thailand dilihat menggalakkan kemasukan pelarian masuk ke Malaysia dengan mewujudkan kem-kem sementara di Selatan Thailand.

Malah, kebanyakkan pelarian atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang pernah ditahan di Malaysia, juga antara individu yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.

SOAL JAWAB PENGLIBATAN PIHAK BERKUASA THAI

Berikut merupakan sesi soal jawab antara panel RCI yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria:

Tun Arifin: ASP terlibat dalam risikan. Adakah ada ditaklimat berkenaan pemerdagangan manusia oleh pihak atasan untuk memerhatikan sama ada wujud pemerdagangan manusia melalui Wang Kelian ataupun Padang Besar? Ada ke?

ASP Jamaluddin: Untuk maklumat yang berbahagia Tun, berkenaan dengan taklimat-taklimat pemerdagangan manusia, di peringkat IPK memang mereka ada maklumkan. Kita di peringkat Daerah kita lebih lebih kepada kumpul maklumat dan salurkan kepada IPK. Dalam masa sama, kita beri nasihat dan maklumat kepada agensi-agensi yang terlibat di sempadan supaya menguatkuasakan kawalan yang lebih ketat di kawasan sempadan.

Tun Arifin: Tapi kalau mengikut risikan anda, memang ada pemerdagangan manusia? Ada ke tidak?

ASP Jamaluddin: Melalui maklumat kita, kalau dari segi pemerdagangan manusia itu, memang ada, iaitu di sebelah negara jiran. Untuk makluman Tun, semasa pertukaran ATM (Angkatan Tentera Malaysia) ke PGA (Pasukan Gerakan Am) pada tahun 2013, peningkatan kemasukan PATI memang banyak pada masa itu, daripada Thailand ke Malaysia pada tahun 2013 - iaitu selepas kita (PGA) ambil alih. Memang banyak lagi kemasukan.

Tan Sri Norian: Kamu kata ‘kita’ ambil alih tu, ‘kita’ tu siapa?

ASP Jamaluddin: PGA, ambil alih daripada ATM untuk Ops Wawasan, tak silap saya pada tahun 2013. Apabila kita buat risikan dan siasatan, kita dapati bahawa PATI yang masuk ke negara kita, adalah PATI yang telah ditahan lebih awal sebelum ini di negara Thailand. Perkara ini pun diperakui sendiri oleh Ketua Polis Negara Thailand yang mana, PATI yang ditemui di Ban Talo dan Padang Besar adalah PATI yang sama yang ditahan di Nakhon Si Thammarat dan juga di Sadao. Selepas daripada tahanan-tahanan daripada negara Thai itu ditahan, jumlah mereka begitu ramai. Jadi mereka telah wujudkan satu kem penempatan di Kampung Teluk, bersebelahan sempadan Malaysia di Genting Perah dan Tangga 100. Satu lagi kem sementara PATI ini diwujudkan di Sadao. PATI-PATI inilah yang lari ke negara kita.

Tun Arifin: Apa sebab dia lari ke negara kita?

ASP Jamaluddin: Ada dua sebab. Pertama faktor kita ini negara Islam. Jadi mereka datang ke sini untuk mencari perlindungan. Yang kedua, faktor keluarga. Ada sanak saudara dia yang telah bekerja di sini diambil datang ke sini untuk bekerja disebabkan masalah dalaman negara mereka. Dua benda utama yang menyebabkan PATI yang sama daripada Sadao, dan juga ke Padang Besar, masuk ke dalam.

Tun Arifin: PATI-PATI ini ditahan ke apa di Thailand?

ASP Jamaluddin: Kalau di Thailand memang di Thailand.

Tun Arifin: Macam mana dia lari?

ASP Jamaluddin: Cerita dia sensitif sikit. Apabila di tahan di Sadao.

Tan Sri Norian: Bukan di Nakhorn Si Thammarat? Ni (Sadao) di pantai barat.

ASP Jamaluddin: Nakhorn Si Thammarat adalah kawasan terbesar untuk meletakkan PATI.

Tan Sri Norian: Yang masuk daripada?

ASP Jamaluddin: Dari Danok, dan juga sebelah pantai barat Thailand. Disimpan di situ. PATI-PATI ini akan diletakkan di Sadau dan Padang Besar.

Tan Sri Norian: Nakhorn Si Thammarat ini dalam 250km, kenapa tahanan yang ditangkap itu dibawa ke sempadan Malaysia? Apakah tujuan dia pada pandangan awak?

ASP Jamaludin: Berdasarkan apa maklumat yang kita perolehi, tujuan utama PATI ini adalah untuk masuk ke negara kita, Malaysia ataupun seterusnya ke Singapura atau Australia. Jadi daripada tahanan-tahanan yang telah ditangkap oleh kerajaan Thailand, dia telah membahagikan kawasan-kawasan. Maksudnya, PATI-PATI yang berlebihan ditangkap akan dihantar ke lokap-lokap tempat tahanan PATI di daerah lain sekiranya kawasan Nakhorn Si Thammarat itu, ada ramai PATI di situ, tak cukup, di bawa ke sebelah selatan. Berkemungkinan besar dijadikan sebagai satu alasan untuk membawa PATI daripada Nakhorn Si Thammarat terus Sadao lalu ke Padang Besar kemudian ke negara kita.

Tun Arifin: Mereka lari? Mereka ditahan tapi macam mana boleh lari?

ASP Jamaluddin: Sebenarnya, PATI-PATI ini tidak lari. Apabila dia diletakkan di Padang Besar (sebelah Thailand), kawasan itu tak silap boleh menempatkan lebih kurang 60 ke 80 orang, pihak polis Thai, tentera dia telah mewujudkan satu penempatan seperti mana yang ada di kem kita, kem sementara di Ban Talo dan Padang Besar, Sadao bersebelahan Anak Bukit dan Kampung Teluk kita (Malaysia). Memang sempadan itu orang kata cukup dengan sempadan kita. Diletakkan alasan sebagai kem sementara sebab kawasan Nakhorn Si Thammarat tidak mampu menampung lebih banyak.

Tan Sri Norian: Boleh kita kata pihak Thai secara tidak rasmi menggalakkan pendatang-pendatang ini masuk ke Malaysia dengan cara meletakkan di perbatasan negara kita.

ASP Jamaluddin: Ya. Itu berdasarkan maklumat yang kita dapat juga. Kalau kita tengok dari segi kem, sepanjang penemun kem. Kem yang ditemui di sebelah Thailand dan di Malaysia sama sahaja. Juga kem di negara kita, tidak ada satu bahan atau kelengkapan dari negara kita.

Tun Arifin: Anda kata sama, anda pernah pergi ke sana, kem sebelah Thai?

ASP Jamaluddin: Saya pernah pergi dan juga hasil daripada satu operasi kerajaan Thailand masa itu Timbalan Ketua Polis buat operasi besar-besaran, pukul 9 pagi, saya telah dapat gambar-gambar dan dokumen berkaitan operasi yang dibuat, keadaan kubur, struktur khemah sama yang ada di Malaysia.

Persamaan khemah yang dirujuk Jamaluddin adalah keadaan dan struktur khemah yang dijumpai pasukan PGA di Wang Burma dan anggota Komando (VAT69) menjumpai kem sama Genting Perah.

PROSIDING TERTUTUP

Selepas lebih dua jam memberi keterangan, sesi pendengaran awam yang bermula kira-kira 9.35 pagi dihadapan tujuh panel itu ditangguhkan sementara dan bersambung semula jam 2.15 petang.

Menyambung memberi keterangan, Jamaluddin dirujuk kepada laporan yang dibuat saksi keenam, DSP S. Sivanganam yang mana laporan tersebut mengandungi 11 nama yang dikaitkan dengan sindiket penyeledupan migran.

Ketika merujuk, Jamaluddin akui beberapa nama dalam senarai tersebut dalam pemerhatian Cawangan Khas.

“Sebahagian nama dalam laporan Sivanganam juga terdapat dalam laporan Cawangan Khas,

“Nama berkenaan bukan maklumat baru, mereka hanya ‘runner’,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mengenali individu bernama Aziz @ Azim, beliau mengangguk.

Beliau yang kemudian diminta untuk memberi nama-nama individu yang turut sama dipantau oleh Cawangan Khas, memohon supaya prosiding tersebut diadakan secara tertutup.

Ia berikutan terdapat maklumat sulit yang tidak dapat didedahkan kepada umum.