ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan membabitkan pihak swasta dalam membantu menangani masalah air tidak terhasil (NRW) di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata buat masa ini, kerajaan negeri telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta sedang menunggu keputusan Menteri Alam Sekitar dan Air.

"Bagi mengatasi masalah NRW ini, kita akan libatkan pihak swasta dan Kedah bakal menjadi negeri pertama yang melibatkan pihak swasta tetapi perlu dapat kebenaran daripada SPAN dan menteri terlibat dahulu sebelum proses berkenaan dapat diteruskan.

"Pihak swasta akan melabur dalam infrastruktur dan banyak kos dapat dijimatkan. Sasaran kita ialah menurunkan kadar NRW negeri daripada 50 kepada 25 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang," katanya ketika mengulas isu air di Kedah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon hari ini yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung.

Muhammad Sanusi berkata penglibatan pihak swasta turut membantu menjimatkan kos elektrik sebanyak 60 peratus yang perlu ditampung oleh kerajaan negeri.

"Kos air tidak tinggi seperti kos elektrik kerana setahun kita perlu bayar RM180 juta kepada Tenaga Nasional Berhad. Pam kita sudah tua serta memerlukan minyak dan elektrik yang tinggi, hendak tukar pam makan kos berjuta jadi kena perlahan-lahan buat pertukaran.

"Negeri maju yang lain seperti Selangor pun ada masalah air, jadi sabar. Saya bukan hendak halalkan masalah itu tetapi kita sedang usahakan dan saya beri jaminan dalam tempoh tiga tahun lagi, masalah infrastruktur yang melibatkan air akan selesai," katanya.

Beliau berkata semua proses sedang berjalan dan sebaik mendapat kelulusan untuk menggantikan paip lama di lokasi kritikal terutama di kawasan bandar, ia akan segera dilakukan bagi mengelak berlaku masalah kebocoran.

Katanya beliau memahami rintihan rakyat Kedah namun berharap mereka dapat bersabar kerana langkah untuk menangani isu air memakan masa dan kos yang tinggi.

-- BERNAMA