Skip to main content

Malaysia

Penglibatan swasta, usahawan penting jayakan Ekonomi MADANI – PM Anwar

Petang ini saya mempengerusikan mesyuarat bersama institusi pelaburan Bumiputera untuk menelaah langkah yang lebih tuntas dan berkesan bagi menjayakan agenda pemerkasaan Bumiputera, sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI_FB  Anwar Ibrahim
Penglibatan sektor swasta dan usahawan dalam menjayakan Ekonomi MADANI amat penting agar pertumbuhan yang dicapai lebih bermakna, mampan dan dirasai secara meluas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Penglibatan sektor swasta dan usahawan dalam menjayakan Ekonomi MADANI amat penting agar pertumbuhan yang dicapai lebih bermakna, mampan dan dirasai secara meluas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Ekonomi MADANI menggariskan ikhtiar untuk menaikkan siling potensi pertumbuhan negara, menaikkan lantai darjat hidup rakyat, serta memacu pembaharuan khususnya dari segi tatakelola yang baik.

Advertisement

Perdana Menteri berkata tumpuan kerajaan kini menjurus kepada pelaksanaan yang nyata, bukan sekadar wacana tanpa usaha menterjemahkannya melalui pelbagai kebijakan yang sesuai dengan tuntutan zaman serta keperluan rakyat.

“Walhasil, Pejabat Perdana Menteri bersama Kementerian Kewangan akan menyusul dengan setiap institusi berkaitan bagi menetapkan inisiatif utama serta laporan kemajuan setiap suku tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan mesyuarat bersama institusi pelaburan Bumiputera bagi meneliti langkah lebih tuntas dan berkesan untuk menjayakan agenda pemerkasaan Bumiputera selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Selain itu, Perdana Menteri berkata turut ditekankan beberapa keutamaan termasuk meningkat serta menyegerakan pelaburan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera, termasuk memperkukuh sokongan kepada syarikat berpotensi tinggi agar dapat berkembang dengan lebih pantas dan berdaya saing.

“Pada masa sama, kita mahu melihat lebih banyak syarikat Bumiputera melangkah ke hadapan, termasuk mencapai sasaran 10 IPO baharu di Bursa Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2027,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan dalam dunia yang bergerak pantas.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kerajaan menyarankan agar latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergaji tinggi terus diperluas, peluang pekerjaan dipertingkat serta laluan mobiliti sosial diperhebat khususnya bagi golongan miskin dan anak muda.

"Agenda Bumiputera juga tidak boleh terhenti pada seminar serta pengumuman, dan mesti dijelmakan melalui hasil, peluang dan pencapaian yang dinikmati rakyat terbanyak,”  katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video