Skip to main content

Malaysia

Pengorbanan Kedah pelihara kawasan padi, tadahan air wajar dibalas setimpal - Sultan

Sultan Kedah
Sultan Sallehuddin pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Isnin. - Gambar/ SUK Kedah

ALOR SETAR: Pengorbanan negeri Kedah dalam mengekalkan 119,000 hektar sawah padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda wajar diberi balasan melibatkan insentif kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah: "Tindakan itu perlu disusuli sepertimana yang dipohon kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bagi memastikan kelangsungan fungsi Kedah sebagai jelapang padi negara terus terpelihara," titahnya.

Advertisement

Baginda bertitah demikian ketika pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Isnin.

Sementara itu, baginda juga mahu agensi pembangunan dan penyelidikan seperti MADA dan MARDI, lebih agresif memberi tumpuan kepada pembangunan benih padi yang lebih bermutu tinggi, penggunaan jentera dan teknologi moden, serta turut juga memperkasakan penggunaan Internet of Things, yang mampu meningkatkan produktiviti sektor ini.

"Dalam masa yang sama, Beta juga menyarankan agar skim penanaman padi secara estet, perlu diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti hasil padi, dan pendapatan petani yang lebih mampan," titahnya.

Sultan Sallehuddin juga bertitah supaya kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih tegas dan proaktif dalam berhadapan dengan situasi cuaca panas yang menyebabkan paras takungan empangan di Kedah ketika ini berada pada tahap kritikal.

Menurutnya, usaha memelihara kawasan tadahan air juga perlu diperkukuh termasuk memantau serta membanteras aktiviti haram yang boleh menjejaskan sumber air negeri.

Dalam pada itu, baginda bertitah, Kerajaan Persekutuan perlu mengembalikan semula status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, langkah berkenaan adalah penting bagi memastikan potensi sebenar Langkawi dapat direalisasikan secara sepenuhnya dalam memangkin pertumbuhan ekonomi dan negara.

Menurutnya, meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, wujud beberapa kekangan yang menjadi cabaran terhadap kelancaran dan kepesatan di Langkawi khususnya dari segi infrastruktur sokongan, akses ke pulau, serta kemudahan jeti yang efisien.

"Beta difahamkan bahawa, status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan, termasuklah pelaksanaan kadar cukai kepada kenderaan yang dihadkan, cukai-cukai kepada produk yang berasaskan tembakau, serta lain-lain barangan," titah baginda.

Baginda turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk semakan semula kadar subsidi diesel kepada pengusaha feri di Pulau Langkawi.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin turut bertitah agar hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah tidak boleh terpisah atas semangat federalisme.

Ia sebaliknya perlu diperkukuhkan berasaskan semangat kerjasama yang adil serta saling melengkapi.

 

 

 

 

 

Must Watch Video