NATIONAL
Penguasaan AI beri impak besar dalam industri media - Fahmi

Fahmi turut mencadangkan agar Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR) untuk turut bekerjasama dengan Google supaya dapat memperluaskan lagi kebaikan projek berkenaan. - Gambar fail
Kuala Lumpur: Kemeterian Komunikasi menyambut baik pelaksanaan projek AI Literacy For Journalists yang diyakini akan memberi impak besar kepada industri media di negara ini.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu, pihaknya menerima baik cadangan sebagai satu langkah penting dalam memperkasakan bidang kewartawanan negara.
Cadangan itu, jelasnya adalah salah satu permintaan beliau kepada pihak Google, susulan perkembangan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang bakal memberi impak besar kepada industri media.
“Ini merupakan projek yang telah dilaksanakan sepanjang tujuh minggu yang lalu dan melibatkan enam organisasi media pelbagai bahasa untuk mereka meneliti kumpulan pembaca yang baharu iaitu Gen Z.“Setelah banyak berbincang kita melihat kumpulan generasi baharu ini lebih berminat mendapatkan maklumat dengan cara berbeza dalam format berbeza pada waktu mungkin berbeza dari apa yang kita biasa sediakan maklumat.
“Jadi saya berterima kasih pada pasukan dari Google dan Kementerian Komunikasi kerana telah berjaya melaksanakan projek Sigma ini,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada media selepas menghadiri majlis penutupan Project Sigma - Engaging Malaysian Gen Z for News yang merupakan hasil kerjasama antara Google dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) di ibu negara, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengamal media atau wartawan supaya perlu mengetahui kelemahan AI dan tidak meyerahkan sepenuhnya tugas kewartawanan kepada AI.
“Memandangkan kita banyak bercakap mengenai pembangunan AI pada hari ini, namun seperti kita lihat baru-baru ini apabila AI digunakan sewajarnya kita juga perlu melihat dari kedua-dua sudut iaitu kebaikan dan kelemahan AI itu sendiri.
“Kita tidak boleh terbawa-bawa atau terlalu menyerah semuanya tugas kewartawan ini kepada AI semata-mata, kita boleh gunakan AI sebagai pena dan buku tetapi anggaplah usaha ini membantu para wartawan mengasah bakat wartawan dan memahami aspek dan etika kewartawan dalam Pembangunan AI ini,” katanya.
Fahmi turut mencadangkan agar Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR) untuk turut bekerjasama bersama Google supaya dapat memperluaskan lagi kebaikan projek berkenaan.
Langkah ini penting memandangkan corak keperluan dan tingkah laku penonton khususnya generasi muda kini semakin berubah sekaligus memerlukan corak penyampaian maklumat yang berbeza, ujar beliau.
Kerjasama MPI dan Google perlu dilihat sebagai usaha membina profesionalisme serta kemahiran etika dalam penggunaan teknologi baharu membabitkan AI, tambahnya.
Acara itu turut dihadiri wakil Google Malaysia dan media-media tempatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami