JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan melaksanakan penguatkuasaan lebih agresif bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri sememangnya komited dalam memastikan kebersihan sungai termasuk menerusi Program Johor Bersih, namun masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka kerana sungai adalah aset yang perlu dipelihara.

"Banyak sampah yang kita kutip dan ini sangat mendukacitakan, oleh itu penguatkuasaan PBT yang lebih agresif akan dilaksanakan.

"Ia bagi memastikan sesiapa yang membuang sampah akan ditahan dan didenda. Itu notis awal yang saya berikan kepada masyarakat," katanya pada sidang media selepas Program Johor Bersih @Sungai Skudai di Taman Impian Emas di sini hari ini.

Beliau berkata sampah termasuk bangkai binatang yang ditemui di Sungai Skudai menerusi kutipan sampah yang dibuat di sungai itu hari ini sesuatu yang sangat mendukacitakannya.

Justeru, menurut Onn Hafiz Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai yang dilaksanakan dengan menekankan 10 perkara, penting bagi memastikan kebersihan di sungai itu.

Beliau berkata antara perkara itu ialah penguatkuasaan empat lokasi perkampungan setinggan dan dua lokasi pencerobohan, penguatkuasaan tapak pembuangan sampah haram, pembersihan fizikal Sungai Skudai (sistem mekanikal) serta cadangan membina perangkap sampah dan penguatkuasaan pelepasan air sisa.

"Selain itu, cadangan menaik taraf perangkap sampah sedia ada, mewujudkan Taman Pesisir Air Eko Sungai Skudai, denai dan penghutanan semula Sungai Skudai.

"Pelan ini sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, namun saya minta ini disingkatkan kepada lima tahun dan kerjasama semua pihak penting khususnya oleh masyarakat setempat," katanya.

-- BERNAMA