KOTA KINABALU: Pasukan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) melaksanakan strategi berteraskan penguatkuasaan pintar yang berasaskan risikan strategik dan analisis trend jenayah dalam mengekang aktiviti penyeludupan dadah di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos berkata pendekatan itu membolehkan tindakan lebih bersasar di kawasan berisiko tinggi melibatkan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dengan tumpuan khusus kepada laluan ketirisan seperti jeti tidak rasmi dan kawasan sempadan terbuka.
Advertisement
Beliau berkata ia susulan pihaknya mendapati aktiviti penyeludupan dadah di ESSZone bukan sahaja masih aktif malah kegiatan mereka semakin kompleks dan tersusun sekali gus menjadi ancaman keselamatan yang memerlukan penguatkuasaan berterusan.
“Meskipun tiada peningkatan ketara dari segi jumlah kes dilaporkan kebelakangan ini tetapi kami dapati terdapat perubahan besar dalam cara sindiket terbabit beroperasi,” katanya kepada Bernama.
Viktor berkata ketiadaan rampasan dadah dalam tempoh tertentu tidak boleh ditafsirkan sebagai tiada ancaman dan itu menunjukkan sindiket menggunakan kaedah lebih terselindung termasuk penghantaran berskala kecil atau laluan alternatif bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa dengan wujudnya dark figure of crime dalam kegiatan berkenaan.
Dari segi modus operandi pula, beliau berkata sindiket dipercayai semakin kreatif dengan menggunakan laluan laut tidak rasmi seperti laluan tikus, penggunaan bot laju dan pump boat selain beroperasi secara berlapis melalui penggunaan runner bagi mengurangkan risiko kepada dalang utama.
“Kawasan terpencil di perairan sabah timur juga dikenal pasti dijadikan sebagai lokasi transit sementara dengan aktiviti dipercayai dijalankan pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya
Victor berkata keadaan geografi ESSZone yang dikelilingi banyak pulau, laluan laut terbuka, kekangan aset yang tidak seimbang dengan keluasan operasi dan taktik yang berubah-ubah dengan menggunakan bot kecil yang laju serta sukar dikesan, antara faktor menyebabkan sindiket sukar dijejaki.
“Faktor ekonomi juga mendorong penglibatan individu untuk memperoleh pendapatan lumayan, selain permintaan dadah dalam negara yang masih tinggi dan modus operandi seperti penyamaran dalam aktiviti perikanan atau penggunaan bot kecil bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Victor berkata kaedah hotspot targeting turut digunakan bagi mengenal pasti kawasan transit utama yang sering dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan rentas sempadan, menilai tahap ancaman melalui analisis data operasi seperti jumlah tangkapan, nilai rampasan dan cubaan pencerobohan.
Beliau berkata maklumat komuniti (HUMINT) serta kaitan jenayah rentas sempadan juga turut diambil kira bagi membolehkan tahap ancaman ditentukan secara dinamik dan membantu pelaksanaan operasi yang lebih tersasar dan berkesan.
Beliau juga memaklumkan jalinan kerjasama risikan dengan negara jiran bagi mengekang rangkaian sindiket rentas sempadan dilaksanakan melalui perkongsian maklumat secara berterusan antara agensi keselamatan seperti ESSCOM, PDRM bersama pihak berkuasa Indonesia serta pihak berkuasa Filipina.
“Pengukuhan aset keselamatan termasuk bot pemintas, sistem radar dan penggunaan teknologi seperti dron (UAV) amat diperlukan bagi memantau terutama di kawasan panas, selain menambah baik perundangan dengan hukuman lebih tegas serta pelucutan aset bagi mengekang penglibatan sindiket secara menyeluruh termasuk dalang yang beroperasi dari luar negara,” katanya.
Pada 18 Mac lepas, polis berjaya merampas 53.85 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai hampir RM2.6 juta dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Tawau, yang merupakan antara kes dadah terbesar di Sabah.
Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah Jaya Sabah (PPDJS) Mohd Zaki Harry Susanto juga senada bahawa kedudukan Sabah yang strategik, berdekatan dengan Laut Sulu dan Laut Celebes, bersempadan dengan Filipina dan Indonesia telah lama menjadi laluan pilihan sindiket dadah rentas negara.
Beliau berkata di pantai timur seperti Semporna, Lahad Datu dan Sandakan terus kekal sebagai zon merah penyeludupan melalui laut manakala Tawau dan Kalabakan berdepan risiko berganda kerana melibatkan laluan laut dan darat dengan Indonesia.
“Rampasan dadah yang besar sememangnya mencerminkan kecekapan penguatkuasaan namun tidak boleh ditafsir sebagai kejayaan mutlak kerana ia memberi gambaran bahawa aliran bekalan masih tinggi dan pasaran belum terjejas secara signifikan,” katanya turut mencadangkan konsep “pengakap sempadan” di kawasan laut serta dana tetap kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam keselamatan dan pencegahan dadah.
Beliau berkata ukuran sebenar kejayaan adalah penurunan permintaan termasuk pengurangan penagih baharu dan kadar ketagihan berulang bukannya bergantung kepada statistik rampasan semata-mata, selain penggunaan media sosial juga perlu distrategikan semula dengan pendekatan lebih realistik dan berasaskan situasi sebenar, bukan sekadar kempen bersifat propaganda.
Beliau berkata masyarakat juga perlu beralih daripada “pemerhati” kepada “rakan keselamatan” dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, menyokong pemulihan bekas penagih, menghidupkan komuniti dan tidak melindungi aktiviti yang mencurigakan.
“Jika semua elemen penguatkuasaan, komuniti, dasar dan kerjasama serantau dapat digerakkan secara serentak dan konsisten, Sabah bukan sahaja mampu keluar daripada status hotspot malah berpotensi menjadi model pencegahan dadah terbaik di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA