SHAH ALAM: Pergaduhan di sebuah restoran nasi kandar di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang dekat sini pada 15 April, dipercayai berpunca selepas seorang individu ditegur kerana merokok.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya kini sedang mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Advertisement
“Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara dua pihak kerana seorang daripada mereka ditegur merokok sebelum berlaku pergaduhan dan saling memukul,” katanya.
Mohd Akmalrizal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh-gempar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerusi talian 03-3187 2222.
Sebelum ini, video rakaman kamera litar tertutup berdurasi 47 saat memaparkan beberapa individu bergaduh di sebuah restoran tular di media sosial.
-- BERNAMA