KUALA LUMPUR : Kedudukan nilai ringgit boleh diperkukuh menerusi intervensi atau campur tangan dalam polisi tukaran mata wang negara.

Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berpandangan, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh memainkan peranan secara aktif dalam aktiviti jual beli mata wang asing.

Bagaimanapun langkah ini perlu mengambil kira situasi dan risiko yang ada, dan tidak harus dilakukan sewenang-wenangnya.

"Kalau kita melihat dari segi pendekatan atau intervensi dalam kadar faedah, ya, kita mesti meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR).

"Akan tetapi, kalau kita tingkatkan OPR, orang ramai akan menjerit. Dari segi politik tidak begitu baik, dengan pilihan raya negeri (PRN) dan sebagainya.

"Cara yang lain, selain daripada OPR, (BNM) boleh campur tangan menerusi polisi tukaran mata wang. BNM boleh secara aktif terlibat dalam aktiviti jual beli mata wang asing, secara agresif kalau mampu.

"Bagaimanapun rizab antarabangsa kita tidak besar, jadi jangan cuba 'bermain' dengan perkara sedemikian," katanya ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI dengan topik 'Ringgit Lemah, Apa Perlu Buat?' pada Isnin.

Agenda AWANI: Ringgit lemah, apa perlu buat?

Beliau secara teori turut berpandangan bahawa BNM sepatutnya menaikkan kadar OPR menyamai atau melebihi kadar Rizab Persekutuan atau Fed Rate.

Bagaimanapun, perkara ini sukar dilaksanakan kerana mengambil kira kehendak rakyat dan situasi ekonomi negara.

Meskipun begitu, beliau berpendapat bahawa sebagai alternatif lain, kerajaan memainkan peranan untuk mempengaruhi pelabur antarabangsa melabur dalam negara yang mana memberi kelebihan kepada ekonomi negara.

"Jadi apa pilihan yang kita ada? Kadar tukaran mata wang adalah merupakan satu 'harga'.

"Jadi ini lebih kepada permainan sentimen. Salah satu caranya, kerajaan boleh mmpengaruhi sentimen ini, pelabur asing ingin melabur atau tidak ke negara ini.

"Kita perlu terapkan keyakinan kepada pelabur-pelabur asing bahawa negara kita ini sememangnya serius dalam meningkatkan kecekapan ekonomi mereka. Sekiranya kita dapat yakinkan, kita akan dapat menarik para pelabur asing ini.

Jelasnya lagi, kerajaan perlu tampil dengan dasar yang jelas dan meyakinkan bahawa ekonomi mereka berada dilandasan yang betul, termasuk meneliti kuasa pasaran.

Kejatuhan nilai ringgit dan KLCI