KUALA LUMPUR: Pemotongan dua peratus cukai pendapatan untuk menambahkan duit poket rakyat golongan M40 dapat menggalakkan kumpulan berpendapatan pertengahan itu untuk lebih berbelanja.

Penganalisis Amir Fareed Rahim berkata, golongan M40 terhimpit antara dua kelas pendapatan, iaitu antara golongan berpendapatan tinggi yang selesa dan golongan berpendapatan rendah yang sering diringankan bebanannya dengan pelbagai bantuan.

“Pasca pandemik dalam proses pemulihan ini, golongan yang banyak terkesan adalah bukan sahaja B40, kerana B40 memang mendapat banyak bantuan.

"Tetapi, M40 ini yang terkesan, terutama sekali yang kelompok bawah dalam kelas tersebut.

“M40 itu pun sekarang ini juga dianggap tergolong dalam B61, atau menurut kajian Institut Khazanah, 70 peratus rakyat Malaysia adalah ‘vulnerable’ (rapuh),” kata Pengarah Strategi KRA Group itu.

Menurut Amir Fareed, ekonomi negara digerakkan dengan aliran perbelanjaan. Sehubungan itu, jika lebih ramai yang berbelanja, semakin berkembang pendapatan negara.

Dua tahun pandemik COVID-19 telah menyekat aliran ini sekali gus merosotkan kesihatan ekonomi seluruh dunia termasuk Malaysia, tambahnya.

Pengurangan cukai kepada M40 dapat rancakkan perbelanjaan domestik - Amir Fareed Rahim 
 

Ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih RM50,000 dan RM100,000.

Katanya, hampir satu juta pembayar cukai individu pemastautin bakal menikmati pengurangan cukai itu, dalam usaha kerajaan menambah pendapatan boleh guna yang boleh dimanfaatkan golongan M40.