KUALA LUMPUR: Keputusan pengurangan had laju bagi Jalan Persekutuan di seluruh negara yang dikurangkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) berkuat kuasa pada hari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina dilihat mampu memberi impak yang positif dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di musim perayaan.

Menurut Pengerusi Lembaga Global Alliance Of Road Safety Prof. Kulanthayan Kc Mani, walaupun pengurangan tersebut hanya membabitkan 10km/j iaitu daripada 90km/j kepada 80km/j, namun kesanya terhadap risiko kemalangan atau kematian adalah besar.

Bagaimanapun beliau berpandangan, penguatkuasaan undang-undang tersebut hanya salah satu mekanisme yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan namun keberkesananya tetap bergantung kepada sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

“Selagi kita tak amalkan (patuh) kepada larangan tersebut maka kita tak akan nampak impaknya. Apabila kita kurangkan kelajuan kita akan dapat dua pulangan utama. Pertama kita akan dapat kawal kenderaan dengan lebih baik.

“Kedua andai kata berlaku juga kemalangan maka impaknya (risiko maut) kurang disebabkan kelajuan itu adalah rendah,” katanya kepada Astro AWANI.

Malah menurutnya kebanyakan kemalangan maut yang berlaku adalah membabitkan kelajuan yang menjadi penyumbang utama.

Had kelajuan di semua lebuh raya juga katanya turut dikurangkan daripada 110km/j kepada 100km/j.

Beliau juga menyatakan sokongan seandainya kadar penurunan itu lebih daripada 10km/j untuk mengurangkan risiko yang lebih rendah.

Ketika ini risiko kemalangan maut membabitkan Jalan Persekutuan adalah paling tinggi berbanding lebuh raya.

“Kalau kita lihat dari segi jalan raya daripada empat jenis jalan iaitu lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandar, risiko kemalangan membabitkan lebuh raya adalah paling rendah.

“Jawapanya adalah di mana ada kebarangkalian kemalangan secara berdepan maka risiko kemalangan dan kematian adalah lebih tinggi,” katanya.

Selain had kelajuan faktor penyumbang kepada kemalangan juga banyak membabitkan faktor-faktor lain seperti kecuaian pengguna itu sendiri.

Antaranya termasuklah keengganan penumpang memakai tali pinggang keledar, penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan juga gagal mematuhi peraturan lalu lintas yang lain.

Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pewartaan pengurangan had laju sementara itu sebagai langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di musim perayaan.

Pewartaan tersebut berkuatkuasa bermula 18 hingga 27 Januari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.