SHAH ALAM: Seorang pengurus hartanah sebuah syarikat minyak dan gas bersama isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 18 pertuduhan menerima rasuah dan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1.17 juta antara 2018 hingga 2019.

Len Chia Whey, 37, dan isterinya, Tong Karen, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut satu pertuduhan, Chia Whey didakwa menerima suapan wang tunai bernilai RM232,593 daripada seorang individu sebagai upah membantu Syarikat KK Chong Synergy Sdn. Bhd untuk mendapatkan empat projek sub-kontrak pam minyak masing-masing di Mukim Semabok, Melaka Tengah; Pekan Tanjung Karang dan Mukim Ijok, Kuala Selangor dan Mukim Tebrau di Johor Bahru.

Kesalahan itu dilakukan di rumahnya sendiri di Setia Eco Glades, Cyberjaya kira-kira pukul 3 hingga 5 petang, pada 24 Mei 2019.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seskyen 24 (1) akta sama.

Tertuduh juga didakwa dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah keseluruhan RM757,986 ke dalam akaun simpanan miliknya di enam buah bank selain memiliki pelbagai jenis mata wang asing seperti Pound Sterling, Euro, Yen, Yuan, Dolar Hong Kong, Kronur, Peso, Rupiah, Bath, Dolar AS dan Dolar Singapura.

Sementara itu, Karen yang juga merupakan seorang jurusolek sambilan didakwa atas lima pertuduhan juga melibatkan pengubahan wang haram bernilai RM188,000 termasuk pemindahan wang bagi bayaran pendahuluan sebuah kenderaan jenis Mini Cooper S Clubman.

Rasuah | Suami isteri didakwa, ubah wang haram RM1.17juta

Perbuatan itu didakwa dilakukan pasangan suami isteri itu di Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang, Sepang dan Shah Alam, Selangor bermula April 2018 hingga September 2019.

Mereka dituduh mengikut Subseksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide dan Allan Suman Pillai.

Manakala kedua-dua tertuduh diwakili firma guaman Gooi & Azura Advocates and Solicitors.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM90,000 bagi 15 pertuduhan dihadapi Chia Whey dan RM30,000 kepada Karen dengan seorang penjamin berserta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Rasuah | Suami isteri didakwa, ubah wang haram RM1.17 juta