KOTA BHARU: Polis mengesahkan seorang pengurus pelaburan sebuah syarikat di sini mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan menerusi panggilan telefon pada Julai lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata ibu tunggal berusia 50-an itu mendakwa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pihak berkuasa yang memaklumkan dia terbabit dengan kes pengubahan wang haram.
Beliau berkata wanita itu mengikut arahan suspek kerana terlalu takut sehingga mengeluarkan wang daripada akaun bank, termasuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Mohd Yusoff berkata mangsa juga menggadai dan menjual barang kemas miliknya bernilai hampir RM500,000.
“Wanita itu mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membuat laporan polis selepas kesemua wangnya diserahkan kepada sindiket penipuan berkenaan.
“Dia tahu dirinya tidak terlibat dalam kes pengubahan wang haram tetapi kerana terlalu takut, dia tidak berkongsi perkara itu dengan ahli keluarga atau pihak polis,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan September 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata sindiket berkenaan turut dipercayai menggunakan aplikasi penyamaran yang memaparkan nombor telefon, termasuk nombor IPK Kelantan kononnya panggilan itu seolah-olah daripada pihak polis.
Beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat dengan lebih lanjut susulan mengesan 68 panggilan sehari menggunakan nombor IPK Kelantan.
“Tiada agensi seperti polis atau Bank Negara Malaysia yang menelefon orang awam dan mengarahkan mereka mengeluarkan wang atau membuka akaun baharu.
“Kalau menerima panggilan seperti itu, segera tamatkan panggilan dan hubungi agensi berkaitan melalui saluran rasmi untuk membuat semakan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Bukit Aman sedang mengesan individu dipercayai terlibat dengan kes penipuan berkenaan yang mencatatkan antara kerugian mangsa terbesar di Kelantan.
Pada masa sama, Mohd Yusoff berkata Polis Kelantan akan memperhebat kempen kesedaran menerusi media bagi membendung jenayah komersial yang terus menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun di negeri itu.
-- BERNAMA