SIBU: Seorang pengurus syarikat berusia 40-an di Sibu kerugian RM79,572 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang kononnya beroperasi di Singapura.

Mangsa yang menaruh minat dalam pelaburan mula terjerat apabila menekan pautan yang diiklankan menerusi laman sosial Instagram pada 3 Sept lepas sebelum berhubung dengan seorang ejen pelaburan sebuah syarikat pengurusan pelaburan di Singapura bernama Lily Tan yang memberikan pautan melalui aplikasi WhatsApp.

"Pautan itu diberikan bagi tujuan kehadiran secara dalam talian dan untuk memperoleh mata daripada syarikat," kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa telah diarahkan untuk memuat turun aplikasi FTSE VIP bagi memudahkan kemasukan mata bonus dan sebaik sahaja mendaftar masuk, mangsa telah menerima kemasukan sebanyak 13 mata bonus yang bernilai RM542.

Selepas mendapat mata bonus yang cukup banyak itu, katanya mangsa menghubungi pengurus syarikat terbabit pada 24 Okt untuk urusan pelaburan ke peringkat seterusnya bagi memperoleh mata bonus yang lebih besar.

Zulkipli berkata mangsa kemudiannya diberikan dua nombor akaun atas nama sebuah syarikat terbabit sebelum membuat 11 transaksi dari 24 Okt hingga 20 Nov berjumlah RM94,600 dan mendapat pulangan sebanyak RM15,028.

"Pada 22 Nov lepas, mangsa telah menerima pesanan WhatsApp daripada suspek yang meminta beliau membuat pembayaran lebih kurang RM50,000 bagi tujuan menambah jumlah pelaburan.

"Bagaimanapun, mangsa berasa curiga dan telah membuat semakan melalui laman CCID dan mendapati akaun bank itu mempunyai rekod laporan polis," katanya.

Beliau berkata mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu semalam.

Zulkipli menasihati orang ramai supaya membuat semakan dahulu dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 atau mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan tawaran keuntungan atau pulangan yang tinggi dan menyemak status sesuatu pelaburan dengan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu agar tidak terpedaya, selain membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

-- BERNAMA