Kaedah pengurusan banjir di Kemaman, Terengganu akan menjadi penanda aras bagi persediaan menghadapi bencana itu di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, ia akan diguna pakai di semua peringkat komuniti, negeri mahupun nasional.

"Dengan menggunakan penanda aras di kawasan Kemaman, ia turut akan diguna pakai di semua peringkat. Ini akan dilakukan Ahli Parlimen Kemaman yang melakukannya sebelum dan selepas banjir," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara di Kuala Lumpur.

Ujarnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim akan dipertanggungjawabkan bagi memastikan langkah itu dapat dilaksanakan.

"Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) akan menjadi sekretariat kepada jawatankuasa pengurusan banjir di peringkat komuniti, daerah dan nasional," katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan juga katanya telah menyatakan kesediaan untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang menempatkan mangsa banjir termasuk kemudahan bilik air.

Justeru, beliau yakin pengurusan banjir kali ini akan lebih baik dengan bantuan pelbagai agensi terlibat selain sokongan aset-aset bagi menghadapi bencana itu.

"Kali ini ia akan dilakukan dengan lebih baik lagi apabila ia diperbaik lagi dari segi teknikal," tambah beliau.

Mengenai wang ihsan RM500 kepada mangsa banjir terlibat, jelasnya, kerajaan akan memastikan ia disalurkan lebih awal.

"Wang ihsan nanti akan dapat dibayar sebelum air surut," ujar beliau.