Setiap kali hujung tahun negara kita tidak asing dengan musim tengkujuh di negeri-negeri pantai timur.

Kelantan, Terengganu dan Pahang sering kali dilanda bah yang menyebabkan pelbagai kerugian, kerosakan dan penduduk terpaksa dipindahkan.

Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dalam temuramah Analisis Awani pada Jumaat berkata, banjir tidak boleh diramal namun pengurusan banjir yang lebih efisien boleh dilakukan agar kerosakan mahupun kemalangan mampu diminimumkan.

"Banjir atau banjir monsun dalam konteks ini boleh diramal namun agak sukar. Kita perhatikan mana-mana pun ahli meteorologi di dunia mengatakan kawasan tropika memang akan sukar diramal kerana ketidaktentuan dari segi cuaca dan ketidaktentuan dari segi perubahan monsun.

“Walaupun Jabatan Meteorologi boleh meramal tempoh tujuh hari ke hadapan tetapi sebenarnya ramalan itu bersifat statik, kebanyakan kita meramal hujan akan turun dalam satu kawasan yang agak luas dan walaupun ia turun dalam keadaan yang lebat, yang mungkin sama atau berbeza," jelas beliau.

Tambahnya, ia berlaku kerana penggunaan tanah yang berbeza dan sukar untuk mengenal pasti impak dan kesannya kepada sesuatu kawasan.

Daripada tahun ke tahun kesan banjir akan semakin besar walaupun taburan hujan sama.

Ia berlaku disebabkan oleh pembangunan di sesetengah kawasan yang berbeza.

Menurut Prof Ekhwan, persediaan yang boleh dilakukan ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN) memantau, menyelenggara dan menguruskan situasi semasa dan selepas banjir boleh memastikan jumlah kerosakan ini dapat diminimumkan.

Terbaru, berikutan kejadian banjir gelombang kedua ini, ketiga-tiga negeri di pantai timur Semenanjung mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan.

Hujan monsun ini dijangka akan berakhir pada Mac depan.