Penggunaan tenaga pusat data seluruh negara hanya 47 peratus daripada kapasiti - Timbalan menteri

Chin Tong berkata angka itu menunjukkan penggunaan tenaga lebih rendah berbanding 1,276 MW kapasiti maksimum yang diisytihar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penggunaan tenaga sebenar pusat data di seluruh negara sehingga Jun lalu hanya sekitar 47 peratus daripada kapasiti maksimum yang diisytiharkan, iaitu sebanyak 603 megawatt (MW).
Ringkasan AI
- Penggunaan tenaga sebenar pusat data di Malaysia hanya sekitar 47% daripada kapasiti maksimum yang diisytiharkan, iaitu 603 MW, menurut Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong.
- Penggunaan air oleh pusat data di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Johor masih terkawal, dengan jumlah penggunaan air bagi operasi pusat data hanya menyumbang sebahagian kecil kepada penggunaan air keseluruhan di kawasan tersebut.
- Sebanyak 143 projek pelaburan pusat data telah diluluskan dari tahun 2021 hingga 30 Jun 2025, dengan jumlah pelaburan mencapai RM144.4 bilion dan dijangka mewujudkan 1,429 pekerjaan baharu; projek ini diuruskan oleh MDEC dan MIDA.
Dari segi penggunaan air, katanya, data daripada Air Selangor dan pembekal air di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Johor menunjukkan bahawa penggunaan air oleh pusat data masih terkawal.
“Secara purata, jumlah penggunaan air bagi operasi pusat data di kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ialah 0.47 juta liter sehari (MLD), iaitu hanya 0.012 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan air domestik dan bukan domestik.
“Di Johor pula, penggunaan air oleh pusat data ialah 9.07 juta liter sehari, bersamaan 0.6 peratus daripada keseluruhan penggunaan air di negeri itu,” katanya.
Tambah beliau, dari tahun 2021 hingga 30 Jun 2025, sebanyak 143 projek pelaburan pusat data telah diluluskan, dengan 25 daripadanya diluluskan di bawah Skim Pemecutan Ekosistem Digital (Digital Ecosystem Acceleration Scheme, DSEC).
“Jumlah pelaburan (bagi projek ini) adalah sebanyak RM144.4 bilion dan dijangka mewujudkan 1,429 pekerjaan baharu,” katanya lagi.
Menurut Chin Tong, keseluruhan projek pusat data diuruskan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), manakala projek yang menerima insentif DSEC dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


