MALAYSIA
Pengurusan lembangan sungai diutamakan bagi hadapi La Nina - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah ketika sidang media pada Majlis Perasmian The 6th International Conference on Water Resources (ICWR 2025) di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan memberi keutamaan kepada pengurusan lembangan sungai atau river basin sebagai langkah mitigasi banjir bagi menghadapi kemungkinan fenomena La Nina pada awal tahun depan.
Ringkasan AI
- Kerajaan memberi keutamaan kepada pengurusan lembangan sungai (river basin) sebagai langkah mitigasi banjir, termasuk pembangunan Rancangan Tebatan Banjir, sistem pemantauan dan amaran awal.
- Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat awal 2026, dengan PETRA dan JPS menekankan penyelenggaraan kawasan kritikal serta penyediaan dana kecemasan.
- Timbalan Menteri Akmal Nasrullah menyeru penglibatan sektor swasta dalam pengurusan air dan banjir melalui kepakaran dan teknologi, selaras dengan agenda pembangunan mapan.
"Perkara ini yang dititikberatkan PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam jangka masa terdekat. Kami sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Sumber Air Antarabangsa ke-6 (ICWR 2025) di sini hari ini.
Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025 hingga awal tahun 2026 yang berpotensi menjejaskan corak taburan hujan negara.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan Sabtu lepas memaklumkan, tinjauan cuaca jangka panjang bagi September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) ketika ini berada pada tahap neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan hingga Oktober depan.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan berkenaan, Akmal Nasrullah berkata kesiapsiagaan bencana turut melibatkan pengurusan keutamaan penyelenggaraan serta dana kecemasan di kawasan kritikal.
"Untuk memastikan kerja-kerja kecemasan, terutamanya dalam persediaan menghadapi bencana, terdapat kawasan tertentu yang perlu diberi keutamaan dari segi penyelenggaraan.
"Oleh itu, dengan mengambil kira segala kekangan yang ada pertimbangan akan dibuat bagi menentukan agensi manakah yang perlu diutamakan untuk menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk dalam urusan bajet dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk pemain industri berkerjasama dalam mencari penyelesaian kepada isu pengurusan air dan banjir di negara ini
"Kita perlu meningkatkan minat dan peluang untuk penglibatan pihak swasta, khususnya yang mempunyai kepakaran dan teknologi dan saya rasa ia merupakan insentif yang agak baik untuk industri berkembang serta membuka pintu kepada pelaburan," katanya.
Akmal Nasrullah hari ini merasmikan ICWR 2025 yang menghimpunkan pakar, pihak berkepentingan serta pembuat dasar bagi membincangkan isu pengurusan sumber air yang kian meruncing seperti banjir, kemarau dan pencemaran sungai di Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami