KUALA LUMPUR: Pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan mengadakan perbincangan dengan tiga kesatuan pekerja untuk berunding bagi mencari hala tuju penyelesaian.

LTAT dalam kenyataan berkata perbincangan akan diadakan pada Rabu bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT).

"Semasa piket berlangsung, Ketua Eksekutif Datuk Nazim Rahman telah turun ke perkarangan bangunan (LTAT) bersama dengan pengurusan kanan LTAT untuk bertemu dengan Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat; Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani dan Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan itu memaklumkan aktiviti piket yang sedang berjalan telah diberhentikan bagi memberi ruang kepada pengurusan LTAT duduk bersama dengan pihak berkepentingan berikutan kehadiran Nazim di bangunan itu.

"Pengurusan LTAT telah menyatakan kesediaannya untuk memberi penerangan yang sewajarnya dan menjalankan perbincangan bersama wakil-wakil daripada Cuepacs, MTUC dan KKLTAT pada Rabu bagi mencari hala tuju penyelesaian kepada perkara ini," menurut kenyataan itu.

KKLTAT dilapor mengadakan piket dari pukul 1 tengah hari hingga 2 petang Isnin lalu, di kawasan Bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang di sini, mendakwa LTAT tidak menjaga kebajikan staf lembaga itu.

-- BERNAMA