MELAKA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyarankan pengusaha industri pembuatan bot dan kapal menggunakan pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Lim Ban Hong berkata antara yang disediakan ialah Geran Pembangunan Pasaran (MDG) menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), bagi membantu syarikat pembuatan bot dan kapal menyertai pameran perdagangan antarabangsa berkaitan pembangunan industri perkapalan atau komponen bot.

"Melalui pameran tersebut syarikat terlibat juga dapat mempromosi atau memperkenalkan produk buatan mereka kepada negara luar dan ia merupakan peluang yang baik untuk mengembangkan perniagaan.

Industri ini mempunyai potensi besar bukan sahaja untuk pasaran domestik bahkan ke negara lain kerana bot dan kapal digunakan dalam pelbagai sektor antaranya perikanan dan pengangkutan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kilang Explorer Composite Sdn Bhd di Pulau Gadong di sini, pada Ahad.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Seafarer Explorer Group Mike Thein Kim Siang.

Lim berkata pengusaha bot dan kapal yang berminat merebut peluang bantuan dan kemudahan disediakan boleh berjumpa dengan pihak kementerian untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, Sulaiman berkata kerajaan negeri mengalu-alukan agensi dan pihak swasta yang ingin menyumbang bot bagi kegunaan misi menyelamat mangsa banjir di negeri ini pada masa akan datang.

Beliau berkata kira-kira 20 bot penyelamat diperlukan bagi melaksanakan misi berkenaan dan setakat ini pihaknya telah menerima 12 bot yang disumbangkan pelbagai pihak termasuk Bank of China.

"Pihak yang berminat menyumbangkan bot penyelamat boleh terus berjumpa dengan saya atau pihak Seafarer Explorer untuk perbincangan lanjut," katanya.

Terdahulu, Sulaiman berkata pembinaan Kilang Explorer Composite Sdn Bhd diharap dapat melonjakkan ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

-- BERNAMA