KEMAMAN: Sepasang suami isteri dari Chukai, Kemaman melelong 200 kilogram ikan tilapia dan patin bagi mengelakkan kerugian akibat bencana banjir.

Menurut Mat Ropi Mustafa, 52, kesemua ikan berkenaan berjaya dijual dalam tempoh kurang 24 jam menerusi penggunaan media sosial.

Mat Ropi berkata, dia dan isterinya Nor Aizam Mohd Nor, 49, mengambil keputusan menuai hasil ternakan lebih awal berikutan paras air melimpahi tebing.

"Tujuan utama kita buat pengosongan kolam adalah disebabkan musim tengkujuh dan risau ikan-ikan akan keluar.

"Itu sahaja yang dapati kami lakukan selain berserahlah. Alhamdulillah kami berjaya keluarkan semua dan dipasarkan dengan baik.

"Kami mendapati pendapatan yang tidak disangka-sangka dengan pulangan yang baiklah," katanya.

Jelasnya, kesemua jenis ikan tersebut dijual dengan harga serendah RM10 sekilogram berbanding harga pasaran yang mencecah RM14 bagi tilapia dan patin berharga RM15 sekilogram.

Mat Ropi berkata inisiatif itu merupakan langkah terbaik bagi dirinya yang baharu berjinak-jinak dalam bidang penternakan ikan air tawar dan diusahakan di kebunnya di Kampung Pasir Gajah sejak Julai lepas.

"Bimbang sebab kita bila dapat tahu episod hujan lebat akan datang lagi, Jadi kita malam tidak boleh nak tidur.

"Selepas Subuh kami sudah sampai di sini, risau ikan-ikan akan keluar keluar jadi maknanya pendapatan kita itu macam rasa macam sia-sialah apa yang usaha kita buat selama ini," katanya.

Fenomena air pasang besar disusuli air yang turun dari hulu menyebabkan limpahan air sungai ke beberapa kawasan kampung di daerah Kemaman.

Antara kawasan terlibat termasuklah Kampung Batu 13, Kampung Batu 14, Kuala Tayor, Kampung Tanjung Maktat serta Kampung Tempurung telah dinaiki air.