KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah di Sabah diingatkan berwaspada dan mengambil tindakan proaktif dengan mengenal pasti kawasan-kawasan pelancongan di lereng bukit yang berisiko mengalami runtuhan tanah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pihak jawatankuasa tindakan dan pengusaha pelancongan perlu mengadakan perbincangan dengan agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Geologi serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Bukan itu sahaja, jelas ADUN Kiulu itu lagi, peranan Persatuan Pelancongan Luar Bandar juga penting dalam mengenal pasti dan menyalurkan maklumat sekiranya mendapati kawasan pelancongan mereka mempunyai risiko bencana termasuk runtuhan tanah.

"Sabah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Batang Kali (tragedi runtuhan tanah). Kita tahu di Sabah ini banyak tempat-tempat pelancongan di kawasan tanah tinggi.

"Oleh itu, saya mengharapkan gabungan persatuan-persatuan pelancongan luar bandar, pengusaha pelancongan dan Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah dapat membantu mengenal pasti kawasan-kawasan pelancongan yang mungkin berisiko tanah runtuh dan sebagainya supaya tindakan dapat diambil tindakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Sabah cukup terkenal dengan lokasi pelancongan tanah tinggi dan beberapa kawasan rekreasi percutian.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: 2 lagi mayat ditemukan, angka korban meningkat kepada 23

Selain itu, Joniston meminta para pengusaha pelancongan membuat pengamatan risiko di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan menutup pusat pelancongan sekiranya mengundang risiko keselamatan.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat, 23 daripada 94 mangsa meninggal dunia akibat kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya.

Setakat Sabtu, 10 orang lagi dilaporkan masih hilang.

Seramai 135 petugas SAR yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.