Kebenaran beroperasi semula disambut baik pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila mereka dapat bernafas kembali dalam sektor industri negara.

Bagi pengusaha gamat di Langkawi, Noor Masyitah Noor Muhammad, 33, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi kelegaan kepadanya setelah terpaksa menghentikan operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu, ia tidak menjadi masalah buatnya untuk mengikuti garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Jelas Noor Masyitah, normal baharu ini mendidik mereka untuk mengambil langkah pengurusan dan penyediaan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan bersih.

Baginya kebenaran itu perlu diiringi dengan langkah pencegahan yang ketat bagi memastikan wabak COVID-19 tidak menular di dalam kawasan kilang.

Untuk beroperasi secara 100 peratus ketika ini, mereka perlu mematuhi SOP di tempat kerja termasuk amalan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta penyediaan cecair pembasmi kuman.

"Kita sudah ada sistem baharu, SOP baharu untuk kami pengilang yang mahu beroperasi semula. Antara yang paling penting ialah menjaga jarak sosial sesama kakitangan dan pelanggan selain perlu kerap mencuci tangan," katanya.

Bagi pengusaha gamat ini, cabaran dilalui ketika tempoh PKP amat besar kerana beliau terpaksa memastikan tidak kehilangan pekerja selain kebajikan mereka terjamin.

Dengan bantuan ahli keluarga yang lain, Noor Masyitah membuat permohonan kepada Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan bantuan.

Masyitah bersyukur kerana syarikatnya layak menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diberikan kerajaan.

Bantuan subsidi upah ini yang diberikan selama tiga bulan melegakannya kerana membolehkan gaji pekerja dibayar walaupun pendapatan syarikat terjejas.