Penduduk di Lahad Datu meneruskan kehidupan seperti biasa di sebalik perasaan bimbang susulan pencerobohan penganas Sulu dari selatan Filipina.

Tinjauan Astro Awani mendapati walaupun aktiviti perniagaan sedikit terjejas, ia masih berjalan seperti biasa.

Wartawan Astro Awani Shafizan Johari sempat ke pasar malam bandar Lahad Datu bagi melihat aktiviti ekonomi di bandar tersebut ketika Ops Daulat masih lagi dijalankan bagi menumpaskan musuh negara.

Lahad Datu yang bermaksud "Tempat Para Pendekar" benar-benar mengambarkan semangat dan tekad penduduknya yang tidak pernah padam walaupun terjejas akibat insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tandou, lebih 100 kilometer dari sini.

Bergerak daripada tekad itu, peniaga-peniaga pasar malam ini meneruskan aktiviti perniagaan mereka, walaupun bilangan kedatangan pengunjung mengalami kemerosotan.

Akibatnya jualan mereka juga susut.

Namun kalangan mereka tetap tabah dalam mencari sesuap nasi sehingga sanggup membuka kedai sehingga jam 9 malam.

Lazimya pasar malam ini dibuka setiap hari.

Namun pada hari serangan pasukan keselamatan Malaysia ke atas penganas Sulu beberapa hari lalu, ia ditutup sehari sebagai langkah berjaga-jaga.