Skip to main content

Malaysia

Peniaga diingatkan tidak naikkan harga barang pada musim MTL - KPDN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengingatkan golongan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan serta barangan keperluan asas pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini. - Foto hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengingatkan golongan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan serta barangan keperluan asas pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini. - Foto hiasan
Advertisement

JERTIH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengingatkan golongan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan serta barangan keperluan asas pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Pengarah KPDN Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata meskipun pihaknya belum menerima aduan mengenai perkara itu, KPDN Terengganu akan meningkatkan aktiviti pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang.

“Peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga barang kerana bekalan memang mencukupi dan sentiasa ada di pasaran. Pengguna juga boleh mendapatkan barangan keperluan tanpa sebarang masalah,” katanya selepas menyempurnakan Program Rentas Desa dan Teroka Pengguna: Suara Kita, Kuasa Kita bertemakan “Mengimbau Nostalgia Zaman Dahulu” di Kampung Padang Baloh, dekat Pasir Akar di sini hari ini. 

Advertisement

Mohd Mufsi berkata KPDN Terengganu telah memaklumkan kepada semua pengedar dan pembekal supaya memastikan bekalan barangan sentiasa mencukupi, termasuk menyediakan stok tambahan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sedia ada pada musim MTL.

Selain itu, KPDN Terengganu akan mengaktifkan bilik gerakan setiap hari bermula 8 pagi hingga 10 malam sebagai persiapan musim banjir, sebaik sahaja bencana diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Advertisement

Beliau berkata sebanyak 10 anggota membabitkan dua anggota di setiap empat cawangan KPDN daerah serta dua anggota di peringkat negeri, akan ditempatkan di bilik gerakan bagi menerima aduan berkaitan kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan mencukupi. 

Menurut Mohd Mufsi, pihaknya turut bersedia membantu mangsa banjir menerusi inisiatif Food Bank dengan menyalurkan bekalan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir.

-- BERNAMA  

 

 

Must Watch Video

Advertisement