SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintah seorang peniaga dipenjara empat bulan bermula hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan dan melakukan ugutan bunuh ke atas seorang lelaki warga emas di Jalan Cheras-Hulu Langat, awal bulan ini.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin itu sekali gus mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret Kajang pada 10 Feb lepas yang menjatuhkan hukuman denda RM5,500 terhadap Saiful Adli Yusof, 52.
Advertisement
Aslam dalam penghakimannya berkata Mahkamah Tinggi mengguna pakai Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil semula kes tersebut dan memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret serta digantikan hukuman berbentuk pemenjaraan.
Pada prosiding itu, mangsa Liew Khoon Foo, 70, menerusi penyataan impaknya yang dibaca dalam Bahasa Mandarin memaklumkan beliau trauma, takut keluar rumah dan tidak berani memandu, selain mengalami kecederaan teruk termasuk enam jahitan pada lidah yang menyukarkannya untuk makan.
"Saya amat takut lelaki itu akan simpan dendam dan mencari saya semula serta merasakan diri tidak selamat kerana dia sangat ganas. Jadi saya merayu hukuman setimpal terhadap lelaki itu," katanya.
Peguam Muhammad Syakir Haznal mewakili Saiful Adli berkata responden tidak terus meluru untuk memukul mangsa sebaliknya lelaki itu bertindak mengetuk pintu kereta dan berlaku perbincangan antara kedua-duanya terlebih dahulu.
Sementara itu, Saiful Adli dalam kandang tertuduh mengakui dirinya hilang pertimbangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya dilanggar mangsa sehingga menyebabkan anaknya yang baru berusia tiga hari terlepas dari dukungan isterinya lalu terjatuh.
"Saya sudah bunyikan hon tetapi dia lari termasuk langgar lampu isyarat dan kejar dalam 500 meter. Masa kejadian anak saya baru tiga hari dan saya dalam perjalanan mencari pengepam susu," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim berkata tindakan dilakukan responden kepada mangsa adalah sangat kejam berdasarkan semakan terhadap video yang tular dan didapati terdapat tendangan serta mangsa turut ditumbuk.
"Negara ini punyai undang-undang. Tindakan responden boleh disifatkan pembuli jalan raya yang bertindak semberono dan amarah selain turut melakukan kesalahan lain yang terjumlah kecederaan dan ugutan. Harap mahkamah menilai semula hukuman yang dapat memberi keinsafan kepada responden," katanya.
Mahkamah Majistret Kajang pada 10 Feb lepas menjatuhkan hukuman denda RM5,500 ke atas Saiful Adli selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh seorang lelaki warga emas di Jalan Cheras-Hulu Langat, 8 Feb lepas.
Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Saiful Adli dan memerintahkan lelaki itu dipenjarakan lapan bulan jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Liew dengan menumbuk dan menendang bahagian muka serta badan mangsa di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9 Cheras pada 4.05 petang 8 Feb.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bapa empat anak itu juga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, kerana mengugut mangsa di tempat dan lokasi sama.
-- BERNAMA