KOTA BHARU: Seorang peniaga di Tanah Merah dikenakan kompaun RM10,000 kerana menjual gula pasir dengan harga RM3.90 sepeket untuk satu kilogram melebihi harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.85 semalam.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, peniaga wanita itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Penguat kuasa KPDN turut menyita 51 kilogram gula dengan nilai keseluruhan RM145.35.

"Semalam kita buat satu tangkapan di Tanah Merah seorang peruncit tiada lesen dapat bekalan luar Kelantan dan jual (gula) harga RM3.90 kepada sahabat dan dia dikenakan kompaun.

"Dalam masa sehari dua bekalan akan pulih seperti sedia kala, pesanan saya supaya pengguna tidak membuat pembelian panik kerana bekalan akan masuk dan pemborong besar di Kelantan akan menerima bekalan," katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPDN di sini pada Rabu.

Katanya lagi, pemborong di Kelantan akan menerima bekalan gula berkenaan secara berperingkat dan bekalan gula mulai diterima sejak 1 Mei  dengan bekalan permulaan sebanyak 250 tan metrik, diikuti 100 tan metrik semalam dan hari ini.

Azman berkata bekalan gula di negeri itu dijangka pulih dalam minggu ini.

Sebelum ini rakyat Kelantan dilaporkan berdepan ketiadaan gula pasir selepas kilang mengeluarkan gula di Johor dan Pulau Pinang bercuti pada hari raya pertama dan kedua baru-baru ini.

Azman berkata, pasukan bertindak yang ditubuhkan oleh KPDN Kelantan susulan kekurangan bekalan gula akan memastikan agihan bekalan gula lancar selain mengesan peniaga yang menjual gula dengan harga melebihi harga yang ditetapkan melalui operasi Ops Manis yang dilancarkan baru-baru ini.