JITRA: Peniaga yang membida dan berjaya mendapat tapak Karnival Aidilfitri 2024 di daerah Kubang Pasu diingatkan supaya tidak menjual lot jualan yang diperoleh mereka kepada pihak lain.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) Badrulhisham Sulaiman berkata pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang melakukan kesalahan itu supaya ia adil kepada semua pihak.

"MPKP akan melakukan pemantauan bermula hari pertama Karnival Aidilfitri beroperasi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga yang dikenal pasti melakukan kesalahan itu.

"Saya beri amaran kepada peniaga jika didapati ada yang menjual tapak mereka, kita akan senarai hitamkan peniaga itu dan menarik balik tapak yang berjaya mereka bida," katanya selepas Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Badrulhisham berkata pihaknya juga mengalu-alukan aduan daripada orang ramai sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai penjualan tapak kepada orang lain oleh peniaga asal.

"Kita tidak mahu menindas peniaga yang betul-betul mahu berniaga tetapi tidak berjaya mendapat tapak. Diharapkan peniaga dapat menjana keuntungan pada tahun ini memandangkan harga tapak karnival diperoleh dengan murah.

"Sebanyak 58 tapak (jualan) akan menjadi tumpuan di karnival yang akan dibuka di hadapan Pasaraya Yawata, Jitra (sepanjang Ramadan) dan diharapkan peniaga serta pengunjung dapat menjaga kebersihan di tapak karnival berkenaan," katanya.

-- BERNAMA