MALAYSIA
Peniaga makanan, minuman boleh guna LPG bersubsidi sementara peraturan dipinda

Menurut Armizan, menerusi Ops GASAK, pihak penguatkuasa akan hanya mengeluarkan dokumen kenyataan pemeriksaan kepada premis makanan dan minuman tanpa mengganggu operasi perniagaan. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Peniaga berskala mikro dan kecil bagi perniagaan jualan makanan dan minuman dibenar menggunakan silinder gas petroleum cecair (LPG) bagi keperluan premis makanan dan minuman sendiri sementara pindaan kepada peraturan berkaitan dilaksanakan.
Ringkasan AI
- Kerajaan bersetuju meminda Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan 2021) yang sebelum ini menghadkan penggunaan LPG melebihi 42kg kepada peniaga tanpa Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
- Pindaan ini bertujuan membantu peniaga makanan dan minuman berskala mikro dan kecil serta mewujudkan kejelasan undang-undang bagi pematuhan dan penguatkuasaan.
- Sehingga pindaan dimuktamadkan, peniaga kecil dibenarkan terus menggunakan tong LPG bersubsidi tanpa PBKB dan tidak akan dikenakan tindakan undang-undang.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya dilaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang sebelum ini telah diluluskan oleh pentadbiran kerajaan lalu dan berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021, menurut Armizan.
“Peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan untuk mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa keperluan permit Barang Kawalan Berjadual dalam tempoh pindaan dilaksana,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di sini hari ini.
Sebelum ini, PPKB (Pindaan) 2021 telah menetapkan sekatan had kepada peniaga bagi pemilikan dan penggunaan LPG melebihi 42 kilogram (pada satu-satu masa) yang memerlukan kepada Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).Antara teras kepada pindaan yang akan dibuat adalah mengambil kira keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar, katanya.
“Ini termasuk mewujudkan kejelasan undang-undang (clarity of law) untuk memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan berhubung perkara ini,” tambah Armizan.
Beliau turut berkata, semakan dan pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 ini akan diselaraskan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN.
Katanya, ia turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan selain mendapatkan syor dan pandangan daripada pelbagai pemegang taruh atau stakeholders.
Menerusi Ops GASAK, pihak penguatkuasa akan hanya mengeluarkan dokumen kenyataan pemeriksaan kepada premis makanan dan minuman tanpa mengganggu operasi perniagaan, tambahnya.
"Ops GASAK akan ditamatkan pada 31 Oktober, 2025 dan laporan menyeluruh operasi ini akan dijadikan garis panduan dan sandaran untuk mengelakkan sebarang ketirisan berlaku pada masa depan dan untuk memastikan ada peruntukan undang-undang yang bersesuaian terutama mereka yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Sasaran kita pindaan ini dapat dimuktamadkan sebaik sahaja Op Gasak ini ditamatkan pada 31 Oktober depan," tambah Armizan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami