KUALA LUMPUR: Peniaga yang tidak terlibat dengan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diingatkan jangan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan bagi mengaut lebih keuntungan. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata ini kerana tindakan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

"Pengguna harus tahu kategori apa yang dinaikkan SST. Ia ada banyak (kategori), tapi yang kita buat Ops Kesan ini ada empat, perhotelan, kesihatan dan kesejahteraan, pusat penyediaan latihan dan tunjuk ajar dan juga perkhidmatan dobi.

"Kita pantau Ops Kesan ini empat dan kita cari kedai yang nilai ambangnya lebih daripada RM500,000, bukannya yang kecil-kecil. Jadi, bukan semua yang naik dan juga orang ramai harus tahu bahawa makanan dan minuman tidak termasuk kenaikan SST," katanya selepas sesi jelajah mesra di Karnival Jualan Rahmah MADANI Pahang di Dataran Anjung Pusat Bandar Jengka di sini hari ini.

Fuziah berharap orang ramai lebih peka dengan maklumat berkaitan cukai SST dan mereka yang menghadapi masalah berkaitan kenaikan harga barangan boleh membuat aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-848 000, memuat turun aplikasi EZ Aduan KPDN, menghubungi hotline KPDN 1-800-88-800 atau melayari portal E-Aduan KPDN di eaduan.kpdn.gov.my.

Beliau berkata sejak Ops Kesan dilancarkan pada 1 Mac, lebih 1,000 pemeriksaan dilakukan oleh KPDN di seluruh negara dan 26 notis telah dikeluarkan terhadap peniaga yang didapati melakukan kesalahan.

Sementara itu, di Kelantan Pengarah KPDN negeri Azman Ismail berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga termasuk di bazar-bazar Ramadan sekiranya terdapat bukti mereka terlibat dalam pencatutan.

Azman berkata meskipun peniaga barangan makanan seperti di bazar Ramadan tidak terlibat secara langsung dengan kenaikan SST dari enam kepada lapan peratus, namun pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan.

Beliau berkata di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, peniaga tidak boleh mengambil keuntungan melebihi 50 peratus daripada kos.

"Sekiranya ada peniaga terlibat dengan menaikkan harga jualan sewenang-wenangnya, kami akan mengambil tindakan selaras dengan akta yang diperuntukkan," katanya.

Di Perlis KPDN membuat pemantauan harga barangan secara berterusan untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga selepas pelaksanaan kadar baharu SST bermula Jumaat lepas.

Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar berkata Ops Kesan juga mula dilaksanakan pada hari sama melibatkan industri perhotelan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN telah memulakan Ops Kesan 2024 bermula 1 Mac bertujuan memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan untuk mencatut atau membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pancatutan.

-- BERNAMA