Kerajaan tidak menetapkan kriteria penilaian berdasarkan latar belakang parti politik bagi sebarang permohonan lesen bagi aktiviti penyiaran TV dan radio di negara ini.

"Sokongan daripada mana-mana parti politik tidak perlu dan tidak diambil kira dalam menilai sesuatu permohonan," kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada kerajaan mengehadkan pemilikan kepentingan parti politik dalam media arus perdana, kementerian itu berkata faktor utama yang dinilai dalam meluluskan pemohonan lesen penyiaran ialah berdasarkan kemampanan pelan perniagaan komersial yang dirancang pemohon.

Selain itu, kemampuan dari segi pengurusan, kedudukan kewangan, teknikal dan juga jenis kandungan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara amnya juga diambil kira.

"Ini bermaksud bahawa mana-mana pihak yang layak boleh memohon untuk lesen individu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Menurut kementerian berkenaan, orang atau golongan yang tidak layak untuk memohon suatu lesen individu ialah syarikat asing, seorang individu atau suatu kepunyaan tunggal, suatu perkongsian dan mana-mana orang atau golongan orang yang diputuskan oleh Menteri dari semasa ke semasa.

Katanya setakat 30 Sept, terdapat 56 pemegang lesen individu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan 'Content Applications Service Provider Individual License, dan daripada itu, 35 pemegang lesen dibenar untuk memberikan perkhidmatan penyiaran televisyen melalui pelbagai platform seperti satelit, penyiaran bebas ke udara (free to air), protokol internet (IPTV) dan juga penyiaran televisyen terrestial digital (DTTB).

Sebanyak 21 lagi pemegang lesen dibenarkan untuk memberikan perkhidmatan radio terrestrial.

-- BERNAMA