Kuala Lumpur: Pengarah Program MBA,Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman berpendapat walaupun terdapat peningkatan harga barang mentah termasuklah barang-barang untuk membuat juadah berbuka puasa, ia menjadikan pengguna lebih bijak dalam menguruskan perbelanjaan mereka.

"Kalau kita lihat, bukan satu platform ataupun satu cara sahaja untuk membeli-belah. Sekarang saya melihat bahawa kemudahan teknologi pendigitalan dan juga kemudahan atas talian turut membolehkan peniaga berniaga secara dalam talian.

"Oleh itu kalau kita lihat lagi sejak setahun dua ini, bazar Ramadan tidaklah kelihatan bercambah kerana ada peniaga yang sudah pun mengunakan kaedah penghantaran terus ke rumah," beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Menurut beliau, dengan kaedah dengan menggunakan aplikasi dan memesan makanan dalam talian membolehkan pengguna mengawal perbelanjaan mereka kerana mereka tidak terpesona atau terpedaya dengan pelbagai jenis kuih di bazar.

Antara cara lain yang mampu mengurangkan kos perbelanjaan terutamanya di bulan Ramadan ini ialah dengan memasak sendiri dan menurut beliau, walaupun ini bukan fenomena baharu, tetapi ia pun sudah menjadi sebuah 'trend'.

Dalam nada yang sama, Ahmed juga berkata, walaupun kos barangan makin meningkat, namun, pengguna masih perlu bersikap hati-hati dalam membeli sesuatu barang.

"Kerajaan menyediakan pelbagai aplikasi seperti price checker untuk melihat adakah barangan itu telah diletakkan pada harga yang tinggi ataupun tidak. Kita juga ada akta kawalan harta dan pencatutan yang turut memberi perlindungan kepada pengguna jika mereka mendapati ada harga barang yang naik tidak munasabah."

Ekoran dengan itu, beliau turut berkata, peniaga juga kena faham walaupun keadaan memaksa mereka untuk menaikkan harga, tetapi jika pesaing mereka kekal meletakkan pada harga yang sama, peniaga turut akan rugi kerana pembeli boleh membandingkan harga dengan pesaing mereka.

Agenda AWANI: Belanja Ramadan naik lagi?