Peningkatan pembabitan wanita dalam bidang keusahawanan menunjukkan kematangan mereka mengendalikan perniagaan.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, banyak faktor mendorong penyertaan wanita dalam bidang perniagaan antaranya pendedahan dan bimbingan menjadikan wanita lebih peka kepada kehendak pasaran.

"Sehubungan itu, kebanyakan mereka memilih berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan dengan menggunakan kelebihan landasan disediakan.

“Selain itu, kemudahan pinjaman ditawarkan pelbagai organisasi dalam usaha membantu menyediakan modal permulaan perniagaan juga menjadi faktor pendorong kepada wanita menceburi bidang perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bangkit Kembali Amanah Ikhtiar Malaysia, di Dewan Terbuka Koundo, Kampung Kebatu, Beaufort.

Turut hadir, Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting; Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia, Datuk Lajim Ukin; Ahli Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Mohamad Farid Mohamad Ali dan calon Perikatan Nasional (PN) DUN Klias, Isnin Aliasnih.

Selain itu, katanya kini pelbagai tawaran dan kemudahan seperti latihan, bimbingan dan khidmat nasihat disediakan dapat dimanfaatkan ramai usahawanita sekali gus mempeluaskan pasaran perniagaan mereka ke peringkat lebih jauh.

"Bahkan, dengan adanya perkembangan teknologi, wanita kini boleh memulakan perniagaan dalam talian yang menyediakan platform mudah mendekati pelanggan.

"Usahawan wanita boleh menikmati kebebasan cara perniagaan tanpa memerlukan mereka tinggal rumah untuk mengurus perniagaan,” ujarnya.

Jelas Azizah yang juga Pengerusi Mara, beliau bercadang untuk menjalinkan kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu meningkatkan keupayaan peniaga dari Industri Kecil Sederhana (IKS).

“AIM akan bertindak sebagai organisasi menyediakan kemudahan pinjaman kewangan manakala Mara pula memainkan peranan sebagai pembimbing usahawanita.

“Saya juga difahamkan bahawa 99 peratus Sahabat AIM adalah pembayar balik yang baik dan perkara ini membuktikan wanita mampu menjadi usahawan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Junaidah berkata dengan jumlah Sahabat kira-kira 400,000 orang, AIM mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM24.9 billion dan daripada jumlah itu sebanyak RM2.3 billion disalurkan kepada hampir 64,000 wanita di Sabah.

“Selain itu, Sahabat AIM di Beaufort pula mencecah hampir 3,000 orang dengan pengeluaran pembiayaan sebanyak RM188 juta dan jumlah ini dijangka meningkat dalam tempoh terdekat.

“AIM tidak pernah berhenti untuk membantu lebih ramai wanita keluar dari garis kemiskinan seterusnya dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga menerusi pelbagai program bimbingan dan latihan seperti teknik pemasaran digital berguna buat Sahabat memasarkan produk mereka dengan lebih luas,” katanya.

Dalam pada itu, Lajim berkata, pendekatan pemasaran produk perniagaan berbeza juga dapat meningkatkan peluang perniagaan lebih cerah antara usahawanita.

“Oleh itu, gunakan peluang tersedia untuk jana ekonomi khusus bagi membolehkan perniagaan berkembang seperti memanfaatkan pasaran dalam talian sedia ada.

“Langkah ini dapat melahirkan usahawanita berjaya selain mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat,” katanya.

Selain acara perasmian, turut diadakan, majlis penyampaikan sijil penghargaan kepada 30 Sahabat di sekitar Beaufort.

Berdaya saing

Sementara itu, penerima Sijil Penghargaan Sahabat Cemerlang dari Sahabat Pusat An-Nur Rancangan Klias, Noridah Gamuli, 50, berkata, pengalaman 30 tahun menjalankan perniagaan runcit sememangnya banyak berubah seiring peredaran semasa.

Jelasnya, itu bukan penghalang untuk tercicir dalam perniagaan sebaliknya sering persiapkan diri untuk lebih berdaya saing.

“Saya mula mengenali AIM sejak 30 tahun lalu dan mula meminjam RM1,000 sebagai modal perniagaan dan sehingga hari ini saya menerima suntikan modal dari AIM untuk mengembangkan lagi perniagaan runcit sedia ada.

“Pinjaman diberi itu amat bermakna buat usahawanita seperti saya memandang modal diterima boleh digunakan sebaiknya untuk keluar dari kemiskinan,” katanya.

Nada sama dinyatakan Penerima Sijil Penghargaan Sahabat Cemerlang dari Sahabat Sccha Mardieyah, Norsimah Nordin, 35 tahun yang menyatakan, perniagaan dalam talian memberi peluang kepada usahawan wanita beroperasi selama 24 jam setiap hari dengan hanya menggunakan teknologi canggih pada bila-bila masa dan di mana saja.

“Pinjaman diterima boleh digunakan untuk membeli stok, kos reka cipta laman web dan sebagainya," katanya.