Kementerian Dalam Negeri mendedahkan kes berkaitan pembelian dalam talian (e-dagang) merekodkan aduan tertinggi dengan kerugian sehingga RM17 juta, ketika enam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 2,500 kes sejak 18 Mac hingga 4 Ogos yang lalu bagi penipuan itu.

Ia diikuti dengan penipuan bagi pinjaman yang tidak wujud dengan 1,582 kes yang melibatkan kerugian RM18 juta, sementara Macau Scam pula menyaksikan kerugian RM50 juta dengan 1,001 kes.

"Love Scam dan tipu khidmat pesanan ringkas (SMS) pula masing-masing merekodkan 481 kes (kerugian RM18 juta) dan 91 kes (kerugian RM800,000)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (UMNO-Baling) mengenai jumlah sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa PKP.

Mengulas lanjut, Ismail menambah, PDRM juga mewujudkan akaun Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police bagi berkongsi maklumat dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman penipuan jenayah dalam talian.

"Pada masa yang sama, PDRM juga membangunkan satu portal untuk memudahkan masyarakat membuat semakan nombor telefon sindiket ataupun akaun-akaun bank yang digunakan sindiket dalam urusan pindahan wang mangsa ke akaun sindiket.

"Portal tersebut boleh dicapai melalui pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan kini ia juga boleh dimuat naik dengan menggunakan telefon mudah alih," ujarnya.

Ketika menjawab soalan tambahan Abdul Azeez mengenai kekangan PDRM dalam membendung sindiket ini, Ismail menjelaskan, PDRM berdepan beberapa isu.

Ia termasuk masalah untuk mengenal pasti identiti pemanggil, penjenayah menggunakan akaun pihak ketiga dan penjenayah beroperasi di luar negara.

"Dalam kes melibatkan luar negara, kita terpaksa meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengenal pasti penjenayah itu," tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM mewujudkan pasukan khas yang turut dianggotai Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Security Malaysia (CSM) dan industri telekomunikasi.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena) mengenai jaminan kerajaan berhubung kebocoran maklumat peribadi termasuk nombor telefon orang ramai ketika mengunjungi mana-mana premis, Ismail memberitahu, kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati membocorkan data terbabit.