SEREMBAN: Polis sedang mengesan empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan menggunakan nama Vantage FX Investment dan Vanguard Investment melibatkan wang berjumlah lebih RM950,000 di Nilai, tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani berkata individu berkenaan ialah Muhammad Shalihin Hussein, 34, yang beralamat di Jalan Putramas, Kuala Lumpur; Seow Ka Khan, 33, (Petaling Jaya, Selangor); Shawn Lee Kim, 32, dan Seow Siew Yan, 33, beralamat di Klang, Selangor.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan dan maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Addiean Gidius menerusi talian 019-8973218," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata empat individu itu dikehendaki polis selepas penahanan 11 ahli sindiket tersebut menerusi beberapa serbuan dan mengenal pasti 51 kes penipuan yang menggunakan nama pelaburan sama pada 13 dan 19 Nov lepas.

Menurutnya daripada jumlah itu, sembilan daripadanya kini direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 selain masih berada dalam tindakan dan siasatan polis serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

-- BERNAMA