Seorang penjawat awam hari ini mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan menerima suapan hampir RM60,000.

Hazmi Samsudin, 39, seorang pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam didakwa melakukan kesalahan itu dari tempoh Jun ke Oktober 2011, semasa dia menjadi pegawai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Dia didakwa menerima 10 peratus daripada tuntutan bayaran bagi projek menaiktaraf dan membaik pulih beberapa dewan komuniti di Perak, daripada enam syarikat berbeza melalui Zainal Arifin Lahuri sebagai upah bagi mengeluarkan arahan kepada pihak Yayasan Kebajikan Negara untuk meluluskan pembayaran projek.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut, di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Peguambela Mohd Baharuddin Ahmad Kassim meminta jaminan RM30,000 untuk kesemua pertuduhan atas alasan isteri tertuduh yang tidak berkerja dan ibu-bapanya yang sakit.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Khairul Anuar meminta jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain memberi jaminan sebanyak RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Ahmad Zamzani juga menetapkan 22 Julai ini sebagai tarikh sebutan.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.