Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati penjawat awam agar kekal fokus menjaga kepentingan rakyat sebagai tiang seri dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Katanya, apa pun pelaksanaan yang dirancang, penjawat awam mesti menterjemah dasar kerajaan dengan berkesan supaya menepati objektif yang dirangka kerajaan.

"Saya ingin tegaskan, apa yang penting, kita mesti fokus dalam bidang keberhasilan seperti pengangkutan awam, perumahan, kos sara hidup dan lain-lain lagi.

"Ini mesti diberi keutamaan, contohnya inisiatif kita dalam projek LRT, MRT dan terbaharu Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi akan beri manfaat kepada rakyat.

"Ini gambaran Malaysia yang bertambah maju," katanya semasa berucap ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.


Dalam pada itu, beliau juga mahu majlis Hari Raya seperti anjuran JPM akan dapat mengeratkan silatulrahim kakitangan berlainan agensi dan unit.

Majlis yang bertemakan 'Syawal@JPM: Di sini Kasih Bersemi' itu turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, ketua setiausaha negara Tan Sri Ali Hamsa dan menteri-menteri Kabinet yang lain.