PUTRAJAYA : Penjawat awam yang tidak berintegriti tidak berhak mendapat layanan yang sama oleh kerajaan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, tingkat integriti penjawat awam di negara ini perlulah setimpal dengan pengiktirifan yang diberikan kerajaan kepada mereka.

Menurut Anwar, berasarkan kebiasaan teori ekonomi, sebarang peningkatan gaji perlu ditangguhkan sehingga ekonomi sesebuah negara itu lebih stabil.

"Tetapi saya lihat dari segi MADANi, ihsan, tahap kecekapan, kemampanan, bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam, kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan, kecuaian oleh pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau menggesa semua pegawai dan anggota yang bekerja di pejabat-pejabat kerajaan untuk mengawal segala kegiatan rakan-rakan sekerja bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang ketirisan.

"Jadi saya minta sementara kita beri satu anjakan yang agak radikal dari segi memberikan pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara-saudara untuk mengawal sendiri jabatan dan kawan-kawan supaya dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama baik penjawat awam.

"Ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah. Apakah harus kita beri layanan yang sama pada kumpulan kecil itu, jawab saya, tidak, kita tidak akan beri layanan sama," katanya.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.

Pelarasan gaji penjawat awam itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar dan terbaik dalam sejarah negara.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dalam talian bersama syarikat gergasi Google, hari ini.