KUALA LUMPUR: Seorang penjual apam balik didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik video lucah di laman sosial X, dua tahun lepas.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Azmirul Iman Ulul Azmi, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS), selain turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Advertisement
Muhammad Azmirul Iman didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video yang lucah sifatnya melalui aplikasi X mengunakan nama a@sweetierosieee dengan niat mengganggu orang lain pada 11.32 malam, 29 Mac 2024.
Kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu dilihat seorang lelaki pada 11 pagi, 4 April 2024 di sebuah unit konodminium di Desa Pandan, Off Jalan Kg Pandan di sini, yang kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui portal aduan dalam talian selepas rasa terganggu dengan kandungan berunsur seksual itu.
OKS dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Berdasarkan fakta kes, susulan aduan yang dibuat, satu laporan maklumat awal dibuka dan pada 4 Feb 2025, polis bersama MCMC menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh di Balai Polis Mentakab, Pahang dan telefon OKS telah dirampas.
Hasil analisis forensik mendapati akaun berkenaan diakses menggunakan telefon tersebut dan video yang sedang disiasat dijumpai semula.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa MCMC Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran selain hukuman yang boleh memberi mesej kepada masyarakat.
"Perbuatan OKS menyumbang kepada gejala sosial kerana kandungan lucah amat mudah diakses oleh sesiapa saja termasuk kanak-kanak dan ia boleh diakses pada bila-bila masa.
"Pendedahan berterusan kepada kandungan lucah menyumbang kepada keruntuhan moral, penularan penyakit kelamin, seks bebas, kelahiran anak luar nikah dan jenayah seksual. Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang konsisten dgn trend hukuman semasa," kata Nazhzilah.
OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertamanya selain tidak berkemampuan di samping menyatakan rasa insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
-- BERNAMA