Skip to main content

Malaysia

Penjualan aset hampir RM10 bilion selamatkan TH, kedudukan kewangan kini lebih kukuh

📸 Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (Menara TH Tun Razak) — one of the most unique buildings in KL, designed by Malaysian architect Hijjas Kasturi. (December 2023) 📍 Pedestrian bridge over Jalan Tun Razak near Menara Tan & Tan
TH memaklumkan sebanyak 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan sejak 2023 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan. - Foto fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018 merupakan langkah penting bagi menyelamatkan institusi itu daripada risiko insolvensi, sekali gus memastikan kepentingan lebih sembilan juta pendeposit terus terpelihara.

TH dalam satu kenyataan berkata, penjualan aset kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH dan membolehkan institusi itu kembali berada di landasan yang mampan.

"Pelan penstrukturan semula pada tahun 2018 adalah bagi menangani kedudukan defisit kewangan TH yang memerlukan tindakan penyelamatan kewangan segera (bailout) daripada kerajaan ketika itu untuk melindungi TH daripada insolvensi," menurut kenyataan itu.

Menurut TH, jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada akhir 2017 terus meningkat sehingga melebihi RM10 bilion pada penghujung 2018.

Sekiranya keadaan itu tidak ditangani sebelum akhir tahun berkenaan, TH tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendeposit.

TH berkata, situasi tersebut juga berpotensi mencetuskan pengeluaran deposit secara besar-besaran yang boleh menggugat kestabilan pasaran kewangan negara.

"Jika tiada tindakan 'bailout' oleh kerajaan pada masa itu, ia juga boleh menyebabkan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara apabila TH terpaksa menjual aset-aset pada harga terdesak bagi memenuhi pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit."

Bagi mengatasi masalah itu, UJSB membeli aset bernilai RM9.7 bilion pada jumlah RM19.9 bilion bagi menutup defisit kewangan TH, sekali gus membolehkan agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2018 diisytiharkan.

Bagaimanapun, TH menegaskan ia diberikan Right of First Refusal (Hak Keutamaan untuk Menolak) terhadap aset yang dipindahkan, tanpa sebarang kewajipan untuk membeli semula aset tersebut.

Menurut TH, hak itu hanya membolehkan institusi berkenaan diberi keutamaan sekiranya UJSB bercadang menjual aset berkenaan pada masa hadapan.

Tahun ini, TH membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM270 juta berbanding harga asal RM400 juta, selain memperoleh semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta berbanding RM800 juta ketika dijual kepada UJSB.

"Transaksi ini menunjukkan TH hanya akan mengambil alih semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburan demi menjaga kepentingan para pendepositnya."

TH turut memaklumkan pelan pemulihan yang dilaksanakan berjaya menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion, merangkumi RM10 bilion melalui pelan penstrukturan 2018 dan RM2.6 bilion lagi yang diselesaikan secara berperingkat sehingga penghujung 2025.

Dalam tempoh sama, kadar agihan keuntungan TH meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.50 peratus pada 2025.

Menurut TH, peningkatan itu dicapai selepas mengambil kira rosot nilai aset bermasalah yang tidak dapat dipindahkan kepada UJSB pada akhir 2018.

Selain itu, TH memaklumkan sebanyak 75 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah dilaksanakan sejak 2023 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan.

"TH kini berjaya kembali ke landasan yang lebih kukuh dan mampan melalui pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus yang lebih baik, tanpa campur tangan kerajaan."

TH menegaskan pihaknya akan terus komited melindungi kepentingan pendeposit, memperkukuh kepercayaan awam serta memastikan institusi itu terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

 

 

Must Watch Video

Advertisement