Skip to main content

Malaysia

Pengorbanan wira negara perlu dihayati jadi inspirasi dalam pertahan keamanan - PAT

81726106543_ATMtenteramalays.jpg
Malek Razak berkata semangat patriotisme dan penghormatan terhadap jasa para perwira perlu terus diperkasakan agar pengorbanan mereka tidak dilupakan. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman menyeru rakyat Malaysia terus menghayati semangat kepahlawanan dan menghargai pengorbanan para wira negara yang telah mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keamanan tanah air.

Beliau berkata semangat patriotisme dan penghormatan terhadap jasa para perwira perlu terus diperkasakan agar pengorbanan mereka tidak dilupakan, dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang dalam meneruskan usaha mempertahankan keamanan serta kemakmuran negara.

Bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan 2026 hari ini, Malek Razak turut merakamkan ucapan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sama ada yang masih berkhidmat, veteran ATM mahupun keluarga anggota kepada mereka yang telah meninggal dunia atau gugur ketika mempertahankan negara.

"Hari ini ialah satu manifestasi penghargaan kepada semua pahlawan negara dan juga pahlawan-pahlawan ATM yang selama ini berkorban untuk mencapai dan meneruskan kemerdekaan negara kita.

"Jadi, ini satu ingatan kepada generasi sekarang dan juga masa depan bahawa penghargaan kepada pahlawan negara perlu sentiasa ditanam pada minda semua warga bagi menghargai pengorbanan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Negara 2026 di sini, hari ini.

Bertemakan “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan”, istiadat tahun ini dinaungi Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi  menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan negara sejak era darurat dan konfrontasi, selain mengingatkan bahawa keamanan tidak hadir tanpa pengorbanan yang tiada nilainya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada istiadat berkenaan.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement