Skip to main content

Bisnes

PROTON e.MAS 7 PHEV dipasang tempatan, perkukuh pembuatan EV negara

PROTON E.MAS 7
Proton e.MAS 7 PHEV kini dipasang secara tempatan di PROTON EV Plant, Automotive High-Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim. - Foto PROTON
Advertisement

TANJONG MALIM: PROTON terus memperkukuh langkah dalam industri mobiliti elektrik negara apabila Proton e.MAS 7 PHEV kini dipasang secara tempatan di PROTON EV Plant, Automotive High-Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim, sekali gus memperluas keupayaan pembuatan kenderaan tenaga baharu (xEV) di Malaysia.

Pencapaian itu mengukuhkan komitmen PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, dalam menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab pembuatan xEV serantau, di samping memperkasakan rantaian bekalan tempatan dan pembangunan industri automotif negara.

Majlis pelepasan unit pertama Proton e.MAS 7 PHEV yang dipasang secara tempatan disempurnakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bersama Timbalannya, Sim Tze Tzin, serta barisan pengurusan PROTON dan PRO-NET.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa, dalam tempoh enam bulan, PRO-NET berjaya melaksanakan pemasangan tempatan bagi keseluruhan rangkaian Proton e.MAS, merangkumi e.MAS 7, e.MAS 5 dan terbaharu e.MAS 7 PHEV.

Image
PROTON E.MAS 7
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) menaiki Proton e.MAS 7 PHEV selepas merasmikan Majlis pelepasan unit pertama kenderaan itu yang dipasang secara tempatan. - Foto PROTON

"Aktiviti ini sangat penting kerana ini sejajar dengan posisi kerajaan.

“Dalam tempoh enam bulan, PRO-NET telah berjaya memperkukuh pemasangan tempatan bagi semua model PROTON e.MAS termasuk e.MAS 7, e.MAS 5 dan juga e.MAS 7 PHEV.

“Jadi, ini mencerminkan evolusi PRO-NET yang bukan sekadar menjual EV, tetapi juga membangunkan keupayaan pembuatan tempatan melalui latihan tenaga kerja, kitaran teknikal dan juga kawalan kualifikasi," katanya pada Majlis pelepasan unit pertama Proton e.MAS 7 PHEV yang dipasang secara tempatan, di sini, pada Jumaat.

Abdul Rashid berkata, pembangunan PROTON EV Plant melibatkan pelaburan awal sebanyak RM82 juta, manakala tambahan RM37 juta diperuntukkan bagi memperluas kapasiti pengeluaran daripada 20,000 kepada 42,000 unit setahun.

Pemasangan tempatan Proton e.MAS 7 PHEV turut melibatkan 30 peratus komponen daripada pembekal tempatan, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan automotif serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata Proton e.MAS 7 PHEV mencatat lebih 4,600 pendaftaran dengan tempahan melebihi 11,000 unit.

"Penerimaan rakyat Malaysia terhadap xEV sangat menggalakkan.

“Dalam tujuh bulan pertama 2026, Proton e.MAS telah merekodkan lebih 20,000 pendaftaran, dan ini menjadikannya jenama xEV nombor satu di Malaysia.

“Pertumbuhan ini turut disokong oleh 58 pengedar, 45 pusat servis, dan akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan di seluruh negara," jelasnya.

Image
PROTON E.MAS 7
Proton e.MAS 7 PHEV mencatat lebih 4,600 pendaftaran dengan tempahan melebihi 11,000 unit. - Foto PROTON

Selain rangkaian jualan dan servis yang terus berkembang, pengguna Proton e.MAS turut mendapat akses kepada lebih 1,500 pengecas pantas di seluruh negara bagi menyokong pengalaman pemilikan kenderaan elektrik yang lebih lancar.

Untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian Proton e.MAS, layari https://emas.proton.com atau ikuti saluran rasmi Proton e.MAS Cars di Facebook, @protonemasofficial di Instagram dan @proton.e.mas di TikTok.

Must Watch Video

Advertisement