MALAYSIA
Pentagon Math perkukuh pendidikan asas matematik serantau

Che Man memperkenalkan siri buku pendidikan Pentagon Math yang direka untuk membantu kanak-kanak menguasai asas matematik secara seronok dan praktikal. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bermula sebagai modul sokongan bagi membantu ibu bapa mengajar anak-anak di rumah, jenama pendidikan tempatan Pentagon Math kini mengorak langkah lebih jauh apabila berjaya menembusi pasaran serantau merangkumi Brunei, Indonesia dan Singapura.
Diterbitkan oleh Syarikat Asas Ilmu Sdn Bhd, pendekatan yang dibawakan Pentagon Math menumpukan kepada penguasaan asas Matematik seperti sifir, tambah, tolak, darab dan bahagi melalui kaedah yang lebih menyeronokkan dan mudah difahami khusus untuk kanak-kanak seawal usia prasekolah.
Diasaskan oleh Sulaiman Syah Ab Rahman, atau lebih dikenali sebagai Che Man, pada tahun 2006, jenama ini pada awalnya dirangka untuk membantu ibu bapa mengajar asas matematik di rumah.
Pengalaman Che Man sebagai fasilitator kepada Adi Putra, kanak-kanak genius Malaysia ketika itu, turut menjadi titik tolak kepada pembangunan modul mereka.Menjelang 2011, Pentagon Math telah melebarkan operasi ke Brunei di bawah pusat tuisyen Ilmas Training & Tutorial, di mana buku Gula-Gula Sifir terbitan mereka diiktiraf sebagai bahan pengajaran rasmi dan ditempatkan di perpustakaan semua sekolah rendah kerajaan negara tersebut.

Siri buku “Gula-Gula Sifir” antara bahan pembelajaran Pentagon Math yang telah diiktiraf sebagai bahan rasmi di perpustakaan sekolah rendah kerajaan Brunei.
Lebih membanggakan juga, pada tahun 2019, Che Man turut dilantik sebagai guru tuisyen Matematik peribadi kepada salah seorang cucu Sultan Brunei di Istana Nurul Iman.
Selepas kembali ke tanah air ketika pandemik COVID-19, syarikat ini terus mengukuhkan kedudukannya dengan menerbitkan lebih 10 judul buku pendidikan termasuk buku sifir, operasi asas, asas 3P iaitu Pecahan, Peratus dan Perpuluhan dan Kad Permainan Congak.
Menurut Che Man, pandemik menjadi titik penting apabila ramai ibu bapa berdepan kesukaran membimbing anak-anak dalam subjek matematik.
“Kami tengok masa itu, mak ayah struggle di rumah, mereka nak mengajar anak tetapi tiada bahan bantu mengajar. Jadi kami bukukan modul-modul kami, kami hasilkan bahan bantu mengajar untuk membantu ibu bapa di rumah memastikan anak-anak mereka menguasai asas matematik tanpa stres,” katanya.

Buku latihan “Tambah Tolak” dan “Darab Bahagi” antara modul utama Pentagon Congak yang direka khas bagi mengasah kemahiran asas matematik.
Kini, Pentagon Math menjalankan lebih 50 siri roadshow, seminar dan bengkel di seluruh Malaysia, di samping menerima jemputan sebagai penceramah jemputan dari beberapa universiti di Sumatera, Indonesia.
Setakat ini, mereka mengendalikan 17 pusat pembelajaran di Malaysia, tiga di Singapura dan satu di Brunei yang berperanan menyampaikan ilmu Pentagon Math di peringkat komuniti setempat.
Che Man turut menyeru para ibu bapa agar memberi tumpuan terhadap penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, sebelum anak-anak mereka melangkah ke Tahun Satu.
“Silibus matematik makin tinggi. Topik makin banyak. Murid pula makin ramai. Masa cikgu semakin singkat dan tugas mereka lebih mencabar. Jadi, ibu bapa kena kerja keras sedikit. Pastikan anak kuasai sifir, tambah, tolak darab dan bahagi dan topik asas lain sejak dari awal,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Pentagon Math, orang ramai boleh melayari platform digital rasmi mereka di TikTok iaitu Che Man Congak Pentagon Math dan Shopee Pentagon Math atau hubungi terus di talian 013-8705477.

Siri terbaru Pentagon Math termasuk “Congak Asas Pecahan”, “Peratus” dan “Perpuluhan” lengkap dengan kad ganjaran dan flash card sebagai bahan bantu belajar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami